Malaysia sertai pangkalan data WIPO Alert
13 September 2024
GENEVA: Malaysia secara rasminya menyertai pangkalan data ‘WIPO Alert Data Sharing Platform’ yang dikendalikan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organization (WIPO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu (UN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini menandakan satu langkah penting ke arah memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara dalam era digital.
"Sebagai tanda komitmen Malaysia terhadap usaha ini, hari ini saya hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) diantara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan WIPO bertempat di ibu pejabat WIPO di Geneva, Switzerland.
"Dengan penyertaan ini, Malaysia kini berada di barisan hadapan bersama 14 negara lain yang telah menyertai platform ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
WIPO Alert adalah satu platform dalam talian yang dibangunkan oleh WIPO untuk membantu agensi penguatkuasaan memuat naik dan mengakses senarai laman sesawang yang dikenalpasti melanggar hak cipta.
Melalui perkongsian maklumat ini, Malaysia dapat memperkukuhkan usaha dalam menangani pelanggaran hak cipta di platform digital, sekaligus melindungi pemilik harta intelek.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara, tetapi juga memudahkan proses dan tindakan yang sedia ada
dalam memerangi cetak rompak digital serta kandungan pengiklanan tanpa kebenaran.
Penyertaan dalam WIPO Alert menegaskan komitmen Malaysia untuk melindungi kepentingan pemilik harta intelek dan memastikan integriti pasaran digital.
Sepanjang tempoh 2018 hingga 2024, sejumlah 4,084 sekatan laman sesawang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama MyIPO dan agensi-agensi berkaitan.
Sekatan ini dibuat atas kesalahan melanggar kandungan hak cipta.
"Pembangunan dan pemerkasaan penguatkuasaan dalam ekosistem digital ini perlu diteruskan dan saya akan memastikan usaha kerjasama bersama WIPO ini akan diteruskan melalui pembangunan kapasiti dan
latihan.
"Penglibatan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa yang melibatkan isu penguatkuasaan digital ini adalah bagi mengekang apa-apa bentuk aktiviti yang terkait dengan pelanggaran hak cipta digital.
"Pembangunan ekosistem harta intelek yang kondusif adalah penting
untuk menggalakkan pelaburan asing dan seterusnya menambah baik
kedudukan ekonomi negara," katanya.
تعليقات