Malaysia setara AS di kedudukan ke-12 ranking pasport dunia
- nabalunews
- Oct 19, 2025
- 1 min read

19 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia berdasarkan laporan Indeks Pasport Henley 2025, menjadikannya setara Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan tahunan edisi terkini indeks tersebut, kedua-dua pasport Malaysia dan AS kini membolehkan pemegangnya melancong ke 180 destinasi tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu daripada keseluruhan 227 destinasi di dunia.
Kedudukan itu turut mengekalkan reputasi Malaysia sebagai antara negara dengan pasport paling berkuasa di rantau Asia Tenggara, di belakang Singapura yang kekal di tangga teratas dunia dengan kemudahan akses tanpa visa ke 193 destinasi.
Korea Selatan berada di tempat kedua dengan akses ke 190 negara, diikuti Jepun (189), sekali gus menunjukkan dominasi rantau Asia dalam mobiliti global.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia menyifatkan pencapaian tersebut sebagai amat membanggakan selain mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap passport Malaysia.
“Pasport Malaysia terus membanggakan apabila menduduki tangga ke-12 dunia dalam ranking Indeks Pasport Henley 2025, setara dengan pasport Amerika Syarikat.
“Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap reputasi serta keselamatan dokumen perjalanan Malaysia yang kukuh dan diyakini dunia,” kata agensi menerusi kenyataan pada Ahad.
Indeks Pasport Henley dikemas kini setiap bulan berdasarkan data terkumpul oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan dianggap sebagai rujukan piawai bagi pengguna di seluruh dunia dalam menilai kedudukan sesebuah pasport dalam spektrum mobiliti global.
Indeks itu menilai 199 jenis pasport berdasarkan jumlah destinasi merangkumi 227 negara dan wilayah yang boleh dimasuki tanpa visa terlebih dahulu dan dikemas kini secara berkala sepanjang tahun bagi mencerminkan perubahan dasar imigresen global.


















Comments