Malaysia, Vietnam dan Singapura meterai perjanjian Grid Tenaga ASEAN, fasa pertama libatkan kabel dasar laut
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

26 Mei 2025
KUALA LUMPUR: Projek Grid Tenaga ASEAN kini memasuki fasa pelaksanaan selepas Malaysia, Vietnam dan Singapura menandatangani perjanjian kerjasama yang melibatkan pembangunan kabel darat dan dasar laut bagi membentuk Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perjanjian tersebut menandakan permulaan penting dalam kerjasama tenaga serantau, namun penekanan seterusnya akan diberi kepada perbincangan teknikal dan model perniagaan projek.
“Ini baru permulaan, selepas ini aspek teknikal perlu dibincangkan. Modul bisnes dan selanjutnya akan dibincangkan lebih terperinci. Ia akan menjadi sebahagian daripada Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid),” katanya selepas mesyuarat dua hala dan majlis pertukaran Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara syarikat-syarikat dari ketiga-tiga negara.
Melalui perjanjian itu, projek fasa pertama akan menyaksikan pembangunan kabel dasar laut oleh Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bakal menghubungkan Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan terdahulu menyifatkan projek berkenaan sebagai pencapaian paling signifikan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.
Ia bukan sekadar pengumuman retorik, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan program dan projek, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara,” ujarnya.
Malaysia juga menyokong cadangan Laos untuk mempercepatkan fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN agar lebih banyak negara anggota blok berkenaan dapat meraih manfaat daripada inisiatif strategik ini.
Comentarios