MANGSA BANJIR DI PPS SK TARITIPAN TIDAK SABAR PULANG KE RUMAH
- nabalunews
- Jan 13, 2021
- 2 min read

13 JAN 2021
KOTA MARUDU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan dekat sini tidak sabar pulang ke rumah selepas dua hari berada di pusat pemindahan itu.
PPS SK Taritipan dibuka petang Isnin lepas menempatkan 324 mangsa membabitkan 80 keluarga yang kesemuanya berasal dari Kampung Belanjung, Taritipan dan majoriti penduduk di kampung berkenaan berbangsa Bajau.
Jaffar Bakar, 79, berkata dia dan 10 ahli keluarganya berpindah ke PPS berkenaan sejak petang Isnin selepas banjir kilat melanda kampung berkenaan.
"Hujan lebat sejak Ahad menyebabkan banjir kilat sehingga 1.5 meter melanda kampung kami dan ini memaksa kami untuk berpindah ke PPS.
"Banjir kilat sememangnya tidak asing lagi bagi kami kerana setiap tahun ada banjir kilat berlaku dan memang kami akan pindah ke PPS. Oleh itu kami sudah terbiasa dengan perkara ini dan apa yang kami mahu adalah dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera," katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan dekat sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa dari kampung berkenaan, Oyo Binti, 77, berharap pihak berkuasa akan membenarkan kesemua mangsa di PPS berkenaan balik ke rumah masing-masing ekoran air sudah semakin surut dan dijangka surut sepenuhnya petang ini.
"Awal pagi tadi saya telah meninjau di kawasan kampung dan melihat air sudah semakin surut dan penduduk sudah boleh membersihkan rumah masing-masing apabila dibenarkan keluar dari PPS," katanya.
Sementara itu, Sabran Mat Salleh, 50, berkata suasana di PPS berkenaan agak selesa dan semua kelengkapan seperti makanan dan tempat tidur mencukupi.
"Walaupun selesa namun saya mahu segera balik ke rumah memandangkan air sudah surut dan kami boleh membersihkan rumah dan saya juga berharap hujan tidak lagi berlarutan agar air tidak naik lagi," katanya.
Tinjauan Bernama menyaksikan suasana di PPS berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sentiasa memantau keadaan di PPS itu. – Bernama
Comentários