top of page

Tapak Tamu Monggorimot kini berwajah baharu

  • nabalunews
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

Arthur (kedua dari kanan) bersama Sarman (kanan) dan Rosilawati (ketiga dari kanan) menunjukkan buah avocado yang dijual di Tamu Monggorimot.
Arthur (kedua dari kanan) bersama Sarman (kanan) dan Rosilawati (ketiga dari kanan) menunjukkan buah avocado yang dijual di Tamu Monggorimot.

24 Mei 2025


SOOK: Tapak Tamu Monggorimot yang telah diwujudkan sejak tahun 1992 sebagai platform jualan bagi para petani, usahawan kecil dan penduduk setempat kini berwajah baharu.


Tamu berkenaan telah melalui beberapa fasa penaiktarafan termasuk peruntukan terkini sebanyak RM500,000 yang disalurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada tahun 2024.


Timbalan Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha ini bertujuan menaik taraf kemudahan dan pengurusan tamu agar lebih sistematik dan kompetitif.


Katanya, ia seterusnya akan menjadikan Tamu Monggorimot sebagai pusat ekonomi tempatan yang berdaya saing.


“Penubuhan tamu ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, menyediakan platform pemasaran terus tanpa kebergantungan kepada orang tengah.


“Ia juga mampu memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.


Selain itu Arthur berkata, pasar tamu ini juga berperanan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat tempatan.


Katanya, ia juga dapat menyumbang kepada dasar keterjaminan makanan negara melalui penawaran hasil tani segar dan tempatan.


"Sejak tahun 2017, FAMA telah melaksanakan penaiktarafan lapan pasar tamu di Sabah

termasuk di Keningau, Kudat, Kunak, Beluran, Tuaran, Telupid, Kinabatangan dan Sook.


“In termasuk menjadikan Tamu Monggorimot antara pencapaian terkini dalam usaha ini" jelasnya.


Dalam pada itu Arthur berkata, FAMA komited untuk terus menyokong pembangunan ekonomi luar bandar dan memperkukuh jaringan pemasaran hasil tani di seluruh negara.


Katanya, Tamu Monggorimot dengan lokasi strategik di laluan penghubung antara Pekan Sook dan Telupid serta berlatarbelakangkan Gunung Trusmadi, kini bersedia menjadi pusat jual beli mingguan yang aktif serta berimpak tinggi kepada komuniti setempat dan sekitar.


Selepas upacara perasmian, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyempurnakan sesi penyerahan peralatan perniagaan kepada usahawan tempatan dan menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FAMA dan Jawatankuasa Penduduk Monggorimot serta lawatan ke gerai-gerai usahawan.


Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Puan Rosilawati Binti Abu Hassan dan Pengarah FAMA Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Sarman Bin Sidno.


Tamu Monggorimot beroperasi setiap hari Sabtu dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari dengan penyertaan sekitar 60 orang peniaga yang menjual pelbagai produk termasuk makanan, minuman, hasil pertanian, ikan sungai dan laut, ayam serta daging.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page