Mangsa Tersepit Maut, Rakan Tercampak Keluar Parah.
- nabalunews
- 54 minutes ago
- 1 min read

23 November 2025
KENINGAU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila kereta dinaiki terbabas sendiri selepas dipercayai akibat hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Bakiau Bypass, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa berusia 27 tahun dilaporkan parah selepas tercampak keluar daripada kenderaan.
Manakala seorang lagi mangsa yang belum dikenalpasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai tersepit di dalam kenderaan remuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6 petang.
Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kemalangan melibatkan dua mangsa menaiki kereta Toyota Hilux Single Cab yang terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan manakala seorang lagi mangsa berada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan EMRS Bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang tercampak keluar dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan Jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang berada di dalam kenderaan dikeluarkan menggunakan stretcher dan telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.54 petang.


















Comments