Mansuhkan JKKK Persekutuan, Sabah ada Enakmen JKKK sendiri – Ewon
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

28 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang,Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memansuhkan pengwujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah kerana negeri itu sudah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK sendiri.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi menghormati perundangan Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada agenda reform nasional.
“Penampang menyokong penuh agenda-agenda reform nasional seperti penyasaran semula subsidi-subsidi Kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri, pengujudan perundangan pendanaan parti politik, pemisahan tugas Peguam Negara (Attorney General) dan Pendakwa Raya (Public Prosecutor), semakan ke atas perundangan-perundangan lapuk dan inisiatif-inisiatif pendigitalan jentera penyampaian Kerajaan.
“Penampang berpendapat agenda reform ini harus mencakupi kepentingan Sabah dan Sarawak iaitu pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia.
“Ini termasuklah menghormati perundangan negeri berkaitan pentadbiran di kampung. Sabah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK, justeru Penampang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan pengujudan JKKK Persekutuan di Sabah,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Parlimen di sini, kelmarin.
Beliau berkata, campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung, sedangkan Sabah telah mempunyai kerangka perundangan sendiri, menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah.
Sehubungan itu, Ewon menegaskan perkara berkenaan memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan pada masa ini.
“Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sememangnya penting dan perlu dipelihara, namun ia mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan Perjanjian Malaysia dan syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.














