Mantan Ketua PDM Pandan Mandamai Sertai UPKO Kudat
- nabalunews
- Mar 8
- 1 min read

8 Mac 2025
KUDAT: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat terus menjadi pilihan utama dalam arena politik tempatan.
Terbaharu, mantan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pandan Mandamai untuk Parti Impian Sabah (PIS) , Gumbali @ Justi Mapahan mengambil keputusan meninggalkan PIS dan menyertai UPKO.
Dalam satu majlis ringkas di Bengkoka, borang keahlian beliau diserahkan kepada Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing.
Kemasukan Gumbali ke dalam parti itu menandakan satu lagi kejayaan UPKO dalam menarik sokongan akar umbi, khususnya di kawasan Pandan Mandamai.
Ketika ditanya mengenai keputusannya meninggalkan Parti Impian Sabah, Gumbali menyatakan bahawa beliau tidak lagi yakin dengan hala tuju serta perjuangan parti tersebut.
Menurutnya, banyak janji yang telah dibuat oleh kepimpinan parti itu, namun sehingga kini tiada sebarang bukti pelaksanaannya.
"Parti ini hanya muncul setiap kali Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan. Saya tidak nampak sebarang usaha berterusan dalam membela nasib rakyat," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian.
Keputusan Gumbali ini turut menunjukkan ketidakpuasan hati sebahagian ahli politik tempatan terhadap parti yang tidak menunjukkan komitmen jelas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Sementara itu, Junsim menyambut baik penyertaan Gumbali dalam parti dan kemasukan pemimpin berpengalaman sepertinya akan memperkukuh lagi kedudukan UPKO di peringkat akar umbi.
"Kami amat mengalu-alukan beliau ke dalam keluarga UPKO. Penyertaan ini bukan sahaja menambahkan keahlian parti tetapi juga memperkukuhkan sokongan di kawasan Pandan Mandamai," kata Junsim.
Comments