Mantan Timbalan Menteri KBS bantu atlet paralimpik Koh Lee Peng jalankan bisnes
top of page
  • Farah Salim

Mantan Timbalan Menteri KBS bantu atlet paralimpik Koh Lee Peng jalankan bisnes


Steven (tengah) membantu Lee Peng (kiri) membuka akaun @ShopeeMy (Kedai Koh Lee Peng), bagi memudahkan Lee Peng menjual produk jualanya melalui online.

20 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kisah hidup bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng yang tular di media sosial baru-baru ini kerana menjual barangan secara kecil-kecilan seperti tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang mendapat perhatian daripada mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong.


Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menemui sendiri dan membantu bekas atlet paralimpik itu menjalankan perniagaan.


“Ramai yang viral isu atlet paralimpik negara Koh Lee Peng jual barang di Bukit Bintang. Saya sudah banyak kali offer kerja lain kepadanya. Tetapi saya rasa kita kena hormat keputusannya berdikari buat bisnes.


Steven membeli semua kraftangan yang dijual oleh Lee Peng sebanyak RM17,000.

“Kalau kita betul nak (ingin) bantu Lee Peng, lebih baik kita sokong bisnesnya itu. Hari ini saya jumpa Lee Peng di Bukit Bintang.


“Saya borong semua kraftangan yang dia jual sebanyak RM17,000, boleh lah dia buat pusingan modal,” kata Steven melalui Twitternya, hari ini.


Steven berkata, semua produk hasil tangan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu dia agihkan kepada orang yang lalu di situ dan juga kepada kawan-kawan.


Steven mengagihkan kraftangan yang dibelinya daripada Lee Peng kepada orang ramai yang lalu di situ.

“Saya juga bantu Lee Peng membuka akaun @ShopeeMy (Kedai Koh Lee Peng),” katanya dan menambah orang ramai tidak perlu kecam atau menghina perniagaan bekas paralimpik itu kerana ia adalah rezeki halal.


Katanya lagi: “Kalau nak bantu, kita sokong bisnesnya, promote dan beli produknya”.


Koh Lee Peng pernah mengharumkan negara dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi di temasya Sukan Para Asean dari 2001 hingga 2005.


bottom of page