Mari beri legasi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mari beri legasi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah - Ewon


21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan hujah agar kesemua ADUN, samada di blok Kerajaan, pembangkang atau bebas agar memberi teladan dan legasi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah.


“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YAB Ketua Menteri di atas kelulusan rasmi gabungan politik baharu yang nampaknya tidak melibatkan semua anggota asal termasuklah YB Timbalan Ketua Menteri yang duduk di sebelah.


“Apapun YAB Ketua Menteri masih boleh memperkenalkan banyak agenda reform dan pembaharuan dalam tadbir urus yang boleh menarik sokongan rakyat, termasuk sokongan Ahli-Ahli Dewan.


“Dewan ini untuk mewakili kepentingan rakyat Sabah, bukan untuk digunakan mewakili kepentingan blok politik. Mudah-mudahan rakyat Sabah mendapat pencerahan sewajarnya pelbagai isu yang telah dibangkitkan di Dewan ini. Mereka menanti-nanti satu tekad politik yang boleh dibanggakan, yang boleh menyatukan kesemua Ahli Dewan ini walaupun kita berbeza parti yang digunakan.


“Mari doakan, mari beri teladan dan legasi yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah, khususnya di kawasan yang kita wakili,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa mengakhiri ucapan perbahasan beliau ke atas ucapan dasar Kerajaan di sidang DUN hari ini.


Baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor telah melancarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas menerima pendaftaran rasmi gabungan tersebut daripada Pendaftar Pertubuhan.


Bagaimanapun anggota asal yang menubuhkan Kerajaan Negeri tidak termasuk dalam gabungan tersebut iaitu Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, PBRS, MCA dan MIC serta komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS dan Gerakan. Ketiadaan parti-parti ini dalam gabungan rasmi GRS telah menimbulkan banyak spekulasi yang sedang hangat diperkatakan rakyat Sabah.

bottom of page