top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mari terus bantu rakyat, Ewon gesa warga KUSKOP bina pasukan cemerlang

19 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengajak penjawat awam khususnya warga kerja kementeriannya membina pasukan cemerlang untuk membantu rakyat khususnya golongan usahawan, penjaja dan peniaga-peniaga kecil di seluruh negara.


Beliau berkata, konsep kerja berpasukan bukan sahaja dapat memudahkan pelaksanaan program-program pembangunan untuk rakyat tetapi dapat memupuk perpaduan dan persefahaman diantara penjawat awam.


“Dalam konsep berpasukan kita boleh meraih perbezaan pendapat, pandangan dan cadangan sebagai amalan demokrasi yang baik dalam mana-mana organisasi termasuk dalam perkhidmatan awam.

“Tetapi sejauh mana kita raikan perbezaan itu haruslah kita mengiktiraf penyelesaian kepada perkara yang diangkat kepada kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi KUSKOP 2023, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 dan Persaraan 2023, di Bangi Avenue Convention Centre, malam tadi.


Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, timbalan-timbalan ketua setiausaha KUSKOP, pengerusi-pengerusi agensi, ketua-ketua agensi dan jabatan serta para penerima anugerah.


Ewon berkata, sebagai penjawat awam, banyak perkara dalam urusan seharian boleh diselesaikan dengan pendekatan ‘common sense’ dengan cara yang mudah.

“Sebab itu saya yakin “common sense leadership” boleh membawa kita kepada penyelesaian masalah dan kerja berpasukan ini memudahkan kita mengurus apa yang kita hadapi dengan mudah,” katanya.


Beliau berkata, tata kelola dan garis panduan tertentu dalam perkhidmatan awam menjadi panduan dan asas untuk membuat keputusan tertentu dalam kepimpinan.


“Kita guna itu sebagai asas kita membuat keputusan tertentu untuk memudahkan kita membuat keputusan. Kaedah ini terpakai dalam mana-mana organisasi, agensi, parti politik atau pertubuhan lain” katanya.


Ewon turut mengingatkan penjawat awam khususnya warga kerja kementeriannya supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja cemerlang, berintegriti dan beretika.

Beliau berkata, ini penting bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam dan imej negara di persada antarabagsa selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Setiap warga Kementerian dan agensi tanpa mengira jawatan, mempunyai peranan penting dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.


Ewon berkata, sebagai tulang belakang pentadbiran negara, jentera perkhidmatan awam perlu menterjemahkan konsep Malaysia Madani dalam setiap tugasan serta sentiasa menambah baik dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan untuk manfaat rakyat dan negara.


“Perkhidmatan awam era Malaysia Madani perlu mempunyai 'good practices' yang merangkumi kepantasan menjalankan tugas, berintegriti, konsisten melaksanakan penambahbaikan tata kelola, turun padang menangani isu dan mengelak sikap 'silo'.

“Oleh itu saya menyeru setiap warga kerja KUSKOP tanpa mengira gred, pangkat dan tugas memahami, menghayati dan menerapkan konsep Malaysia Madani dalam setiap tugasan yang diberikan agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara mampan, sejahtera dan saling menghormati,” katanya.


Majlis Apresiasi KUSKOP bertujuan menghargai sumbangan warga kementerian itu yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang 2022.


Seramai 246 penerima APC diraikan daripada KUSKOP dan empat agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia diraikan pada majlis itu.


Majlis tahun ini amat istimewa kerana buat julung-julung kalinya penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2022 diraikan selain 13 pegawai yang telah dan akan bersara pada tahun

Comments


bottom of page