top of page
  • nabalunews

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 675 liter minyak petrol


24 Ogos 2024


SANDAKAN : 675 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 27 tong yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, awal pagi tadi.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata anggota penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur, Op Khas Cegah dan Op Tiris telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke perairan Tanjung Pasir, Sandakan, jam 2.40 pagi.


Berikutan itu, pihak Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.


Setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot terbabit terus memecut laju menuju ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.


Dua suspek yang berada dalam bot berkenaan berjaya meloloskan diri.


Bot yang menggunakan enjin sangkut 85 kuasa kuda itu berjaya ditahan pada pukul 3.00 pagi di kedudukan 0.1 batu nautika tenggara muara Tanjung Pasir, Sandakan.


Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah RM15,000.


Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pelabuhan dan

Dermaga 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah.

Bình luận


bottom of page