Maritim Malaysia Rampas 2,000 Liter Petrol
- nabalunews
- 19 minutes ago
- 1 min read

2 Februari 2026
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 2,000 liter minyak petrol ke negara jiran, semalam.
Minyak petrol bersubsidi berkenaan ditemui dibawa menggunakan sebuah bot pam sebekum ditinggalkan di perairan Damaran, Pulau Banggi, dipercayai bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya mengerahkan sepasukan bot peronda Maritim Malaysia ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
Katanya, sebaik pasukan operasi tiba, bot pam berkenaan didapati ditinggalkan tanpa pengendali dipercayai telah melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran.
“Semua minyak petrol sebanyak kira-kira 2,000 liter itu dianggarkan bernilai RM5,000 terus dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasbullah berkata, bot pam bersama muatan bahan api itu kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa serta menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Sementara itu, Hasbullah menegaskan pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan.
Katanya, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan serta pemantauan khususnya di perairan Kudat dan Pulau Banggi bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyeludupan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.


















Comments