top of page

Maritim Malaysia tahan bot kargo bawa tujuh tan beras, minyak masak tanpa permit

  • nabalunews
  • Jun 25
  • 2 min read

25 Jun 2025


TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat muatan beras dan minyak masak di kedudukan kira-kira 0.75 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau, semalam.


Semua bahan makanan bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran ditahan dalam operasi Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris yang dijalankan secara bersepadu di perairan Tawau.


Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan sedang dalam bergerak dari perairan Batu Tiga Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus bertindak memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 20 tahun dengan dokumen pengenalan diri yang meragukan.


“Turut ditahan seorang pembantu warga Indonesia berusia 25 tahun yang tidak memiliki permit kerja sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, juragan terbabit juga gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan barangan kawalan yang dibawa serta tidak memiliki dokumen pengikraran kastam untuk penghantaran ke Pulau Sebatik.


“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa sebanyak 700 kampit beras seberat 10 kilogram setiap satu, bersamaan tujuh tan dan 30 kotak minyak masak peket dengan anggaran berat 510 kilogram.


“Semua barangan berkenaan terus ditahan dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin berjumlah RM30,000.


“Kedua-dua individu terbabit turut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.


“Siasatan turut dijalankan berhubung kemungkinan kegiatan penyeludupan rentas sempadan susulan beberapa klip video tular yang menunjukkan barangan Malaysia ditahan pihak berkuasa negara jiran.


“Maritim Malaysia komited memperkukuh tugas penguatkuasaan, khususnya di perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.


“Kami juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page