Maritim Malaysia Tahan Kapal kargo bawa 150,000 Liter Petrol
- nabalunews
- May 2
- 1 min read

2 Mei 2025
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo selepas disyaki membawa muatan kira-kira 150,000 liter petrol tanpa kebenaran di kedudukan 9.5 batu nautika, barat laut Tanjung Bidadari, semalam.
Dalam operasi jam 5.15 petang, kapal kargo berkenaan ditahan menerusi operasi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara Covid-19 dan Op Tiris di kawasan perairan sekitar.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pada awalnya, kapal kargo itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi terus menahannya untuk melakukan pemeriksaan biasa bagi memastikan tiada sebarang salah laku dikesan.
"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kapal kargo itu dikendalikan oleh seorang tekong dan empat awak-awak yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Filipina, berusia lingkungan 22 hingga 64 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kapal kargo berkenaan membawa muatan disyaki minyak petrol sebanyak kira-kira 150,000 liter tanpa sebarang kebenaran sah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kapal kargo itu terus ditahan dan semua individu terlibat diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pihak Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.
"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara haram.
"Orang awam diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
Comentários