top of page
  • Wartawan Nabalu News

Maritim Malaysia Zon Tawau tahan 3 bot tempatan


26 July 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Dua bot tempatan dan sebuah bot tunda berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran dan membawa muatan barang kawalan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan di perairan Tawau, semalam.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan itu dilakukan kapal peronda Maritim Malaysia semasa Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 selepas menerima maklumat dari unit risikan.


Katanya, sekitar jam 2.30 petang semalam, pihaknya menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan barang kawalan keluar dari Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau menuju ke Pulau Sebatik.


“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.35 batu nautika barat daya Jeti CIQ Tawau itu mendapati dua lelaki warga tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot tersebut.


“Pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati bot terbabit melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sementara itu, sekitar jam 5.40 petang semalam, katanya, pasukan sama turut menahan sebuah bot tunda bersama sebuah bot kargo tempatan di lokasi 0.25 batu nautika selatan Muara Sungai Bombalai.


Menurutnya, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati kedua-duanya sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel ‘ship to ship transfer’, tanpa sebarang permit kebenaran.


Katanya, pemeriksaan dokumentasi ke atas semua kru di kedua-dua bot tersebut mendapati salah seorang daripada mereka tidak memilki permit kerja yang sah semasa berada di dalam bot.


“Kru kedua-dua kapal terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan lima lelaki pemegang pasport warga Indonesia berumur di antara 34 hingga 44 tahun,”katanya.


Shahrizan berkata, nilai rampasan keseluruhan dalam kes itu dianggarkan RM3.16 juta yang akan disita sehingga selesai siasatan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Comments


bottom of page