Maritim tahan individu dan rampas peralatan perikanan haram
- nabalunews
- Mar 13, 2025
- 2 min read

13 Mac 2025
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan beberapa individu selain merampas peralatan perikanan yang dipercayai digunakan secara tidak sah.
Semua individu terbabit ditahan menerusi Op Khas Cegag Pendatang Asing Tanpa Izin (OCP) / Op Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar perairan Sandakan sehingga Kinabatangan, pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, tangkapan pertama dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) PINTAR selepas menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT)di kedudukan 10.2 batu nautika timur laut Tanjung Layar-Layar.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan melanggar syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar untuk menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 12 batu nautika dari tanah besar.
“Sejurus operasi dilaksanakan, sembilan individu termasuk tekong dan anak kapal terus ditahan melibatkan seorang tempatan dan lapan warga asing.
“Semua warga asing terbabit dikesan menggunakan pelbagai dokumen pengenalan diri yang meragukan dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan bersama vesel nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan, serta hasil laut dengan anggaran 100 kilogram.
Sementara itu, dalam kes yang berasingan, KM TEBRAU Maritim berjaya mengesan sebuah VNT yang sedang menarik pukat tunda di luar kawasan yang tidak dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing.
“Pasukan operasi terus menahan kedua-dua suspek dan menyita beberapa peralatan termasuk pukat tunda, papan tunda, GPS, serta hasil laut berupa ikan dan udang.
“Vesel tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Semua yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.” Katanya.
Muhamad Suhairy berkata, kedua-dua operasi adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia untuk mengekang aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini.
“Maritim Malaysia juga turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.


















Comments