top of page

Masalah Banjir Kampung Pangkalan Asli, Merotai, Diberi Perhatian

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Liew Yun Fah menerima borang keahlian baharu PHRS daripada Penduduk Kg Pangkalan Asli, Merotai
Liew Yun Fah menerima borang keahlian baharu PHRS daripada Penduduk Kg Pangkalan Asli, Merotai

2 September 2025


TAWAU: Cadangan kerja-kerja meningkatkan sistem saliran sedia ada serta proses mendalamkan sungai dijangka mampu mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kampung Pangkalan Asli, Merotai.


Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, berkata, masalah itu mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa yang sedang merancang pelan tindakan komprehensif untuk menyelesaikan isu lama yang membelenggu penduduk setempat.


Katanya, langkah ini dikenal pasti akan memastikan air hujan dapat dialirkan dengan lebih lancar sekali gus mengurangkan risiko banjir berulang.


“Masalah banjir di Kampung Pangkalan Asli bukanlah isu baharu malah sudah lama sekali gus dilihat sangat membebankan kalangan penduduk serta kampung berhampiran.


“Namun, kita yakin masalah ini akan dapat diselesaikan melalui kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi teknikal dan komuniti, masalah ini akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya pada Majlis Besama Rakyat, di Kampung Kampung Pangkalan Asli, Merotai, semalam.


Liew turut menegaskan bahawa cadangan itu nanti akan merangkumi pelan tindakan jangka masa panjang serta tidak hanya tertumpu kepada pembaikan fizikal sahaja.


“Malah ia akan merangkumi pemantauan secara berterusan dan kesiapsiagaan menghadapi musim keadaan cuaca tidak menentu yang biasanya meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan ini.


“Selain Kampung Pangkalan Asli, beberapa kawasan lain sering dilanda banjir di sekitar Merotai termasuk Kampung Jagung, Kampung Kijang serta Kampung Iban di Merotai,” jelas Liew.


Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan komuniti amat penting untuk memastikan langkah-langkah penyelesaian ini berjalan lancar dan berkesan.


Beliau yakin dengan usaha bersama, masalah banjir dapat dikurangkan dan kualiti hidup penduduk setempat dapat dipertingkatkan.


Penduduk Kampung Pangkalan Asli berharap pelan tindakan ini akan membawa perubahan yang positif dan dapat menyelesaikan masalah banjir yang sudah lama menjejaskan kehidupan harian mereka.


Di majlis, Liew turut menerima borang keahlian baharu PHRS daripada penduduk Kampung Pangkalan Asli, Merotai.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page