top of page

Masalah bekalan air di UMS pulih sepenuhnya

nabalunews

28 Julai 2024


KOTA KINABALU : Masalah bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pulih sepenuhnya dan mampu menampung keperluan warga kampus termasuk pertambahan pelajar baharu yang mula mendaftar pada Oktober ini.


Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata perkembangan baik itu berdasarkan rekod semasa kapasiti air yang disalurkan ke kampus berkenaan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).


"Situasi bekalan air daripada pihak JANS yang diperoleh UMS dari Januari lalu semakin meningkat berbanding sebelumnya dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu purata lima juta liter sehari (MLD).


"Selain itu, projek pembinaan telaga tiub menerusi dana peruntukan diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini juga sudah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.


"Bekalan air telaga tiub adalah sumber alternatif bagi mengurangkan impak kepada pelajar jika berlaku gangguan bekalan air JANS akibat kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden tidak dapat dielakkan," katanya.


UMS berdepan masalah air yang kritikal sejak tahun lalu berikutan kekurangan bekalan daripada loji rawatan air (LRA) milik JANS dengan kemuncaknya pada Januari lalu apabila pelajar mendakwa tidak mandi berhari-hari disebabkan ketiadaan air.


Pelajar turut menyatakan kesukaran dihadapi mereka melalui demonstrasi ketika lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada 7 Januari lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera untuk mengatasinya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page