Masalah bekalan air, elektrik perlu diselesaikan bagi menarik pelabur: PhoongMasalah bekalan air, elektrik perlu diselesaikan bagi menarik pelabur: Phoong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Masalah bekalan air, elektrik perlu diselesaikan bagi menarik pelabur: Phoong



12 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Isu masalah bekalan air dan elektrik di Sabah perlu diselesaikan bagi menarik lebih ramai pelabur datang melabur ke negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe.


Beliau berkata, kedua-dua keperluan asas tersebut perlu diberikan fokus terlebih dahulu kerana ianya mempengaruhi kedatangan pelabur untuk melabur dalam sektor perindustrian di Sabah.


Katanya, GDP untuk sektor perindustrian di Sabah kurang daripada lapan peratus dan angka ini lebih rendah berbanding negeri-negeri perindustrian seperti Pulau Pinang dan Selangor yang masing-masing mencatat GDP 40 peratus.


“Ini memberikan gambaran bahawa Sabah masih lagi ketinggalan dari sektor perindustrian dan ini memberi kesan kepada gaji dan peluang pekerjaan.


“Tetapi bagaimana kita mahu bangunkan sektor perindustrian sekiranya bekalan asas seperti air dan elektrik masih tidak mencukupi di negeri ini?” katanya, semasa Webinar “Semakan Belanjawan 2022, Masa Hadapan Untuk Sabah, anjuran Kinabalu Reform And Research Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL), kelmarin.


Sehubungan itu Phoong mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberikan lebih banyak peruntukan khusus untuk menyelesaikan masalah keperluan asas termasuk elektrik dan air di negeri ini.


“Kita tidak ada loji penjana kuasa elektrik yang mencukupi, kita amat bergantung kepada sumber gas dan minyak. Apabila harga (gas dan minyak) tinggi, we cannot be self-sustainable.


“Timbalan Ketua Menteri, Datuk Bung Moktar Radin sendiri mengakui bahawa sumber bekalan air adalah masalah yang sangat besar di Sabah,” katanya.


Katanya lagi, masalah bekalan air dan elektrik perlu diselesaikan secepat mungkin oleh Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Negeri cuma berkuasa dalam isu tanah.


“Kita perlu ada loji jana kuasa yang besar supaya dapat menampung keperluan yang semakin meningkat pada masa akan datang. Begitu juga dengan masalah air sedia ada, seperti paip-paip yang rosak, isu non-revenue water dan sebagainya. Kita perlu selesaikan perkara ini terlebih dahulu.


“Saya berharap pihak kerajaan dan pembangkang di negeri ini dapat bekerjasama memastikan Kerajaan Persekutuan membantu Sabah menyelesaikan masalah-masalah keperluan asas,” katanya.

bottom of page