MASALAH INTERNET, GURU PEDALAMAN GUNA PENDEKATAN BERBEZA
- nabalunews
- Oct 13, 2020
- 2 min read
Updated: Feb 3, 2021

13 OKTOBER 2020
KENINGAU: Pengumuman penutupan semua sekolah di Sabah sehingga 25 Oktober ini mungkin berita baik bagi kebanyakan orang.
Namun, bagi guru dan ibu bapa di kawasan pedalaman, penutupan itu bermakna mereka akan berdepan kesukaran memberi dan menghantar kerja sekolah kerana liputan jalur lebar yang kurang baik di kawasan mereka.
Atas sebab itu, pendekatan berbeza diambil oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Sinua, Sook. Kerja sekolah tidak lagi diberikan secara online seperti semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekolah ini terletak kira-kira 103km dari Pekan Keningau.
Penolong Kanan Kokurikulum SK Sinua, Adron Habit berkata, kerja sekolah akan diberikan secara manual dengan menyediakan bahan dan nota secara bercetak (hardcopy).
Katanya, penutupan semua sekolah adalah langkah terbaik dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.
Akan tetapi, masalah jaringan jalur lebar di kampung itu antara perkara yang menjadi kerisauan pihak sekolah dan ibu bapa sekiranya kerja sekolah perlu diberikan secara online.
Ia kerana, sesetengah ibu bapa pelajar tidak mempunyai telefon pintar untuk menyemak kerja sekolah yang diberikan untuk anak-anak mereka.
Prihatin dengan masalah itu, pengurusan SK Sinua memutuskan untuk memberi kerja sekolah secara manual.
Isterinya, yang turut mengajar di sekolah sama, Edith Foo berkata, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) jarak jauh di sekolah itu tidak mudah untuk dilaksana sekiranya mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada akses jalur lebar.
Semasa pelaksanaan PKP, ramai pelajar tercicir apabila PdP jarak jauh dilaksanakan kerana liputan jalur lebar ketika itu tidak begitu baik. Malah, ada ibu bapa kepada pelajar yang tiada telefon pintar untuk memuat turun kerja sekolah yang diberikan guru.
Edith berkata, apabila sesi PdP jarak jauh dilaksana semasa PKP, hanya sekitar 40 peratus pelajar yang boleh menghantar kerja sekolah yang diberikan.
“Sekolah ini mempunyai sekitar 115 orang murid termasuk pra-sekolah. Tanpa jaringan jalur lebar yang baik, tidak ramai pelajar boleh menghantar kerja sekolah.
“Penduduk di sini biasanya akan menaiki kenderaan sejauh 4km ke kawasan Bukit Lalapakon yang mempunyai liputan internet yang lebih baik untuk memuat turun dan memuat naik kerja sekolah yang diberikan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, apabila PKP dilonggarkan sedikit, barulah guru-guru memberi kerja sekolah secara manual dengan meletakkan bahan bercetak di pondok pengawal keselamatan dan pelajar akan mengambil serta menghantar kerja sekolah di pondok tersebut.
Itu antara pendekatan yang diambil pihak sekolah agar murid di sekolah itu tidak terus tercicir dalam pembelajaran mereka.
Tapi bermula Ogos lalu, liputan Celcom dan Digi di kawasan kampung ini semakin baik tapi ada kalanya, liputan jalur lebar masih tidak begitu baik.
Untuk itu, sepanjang dua minggu penutupan sekolah di Sabah ini, guru-guru akan memberikan kerja sekolah secara manual dan bukan secara online bagi memastikan tiada murid yang tercicir.
Oleh Suraidah Roslan/ Borneo Today















Comments