MASALAH LIPUTAN INTERNET DI BANDAR, PINGGIR BANDAR, PEDALAMAN GIAT DIATASI: MCMC

12 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Masalah liputan internet di bandar, pinggir bandar dan pedalaman sedang giat diatasi melalui projek-projek pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka selesai pada tahun 2023.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dengan terlaksananya JENDELA, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9 peratus kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8 peratus sekarang.
“Ia juga bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30Mbps daripada 25Mbps sebelum ini. Status sasaran-sasaran JENDELA akan diumumkan setiap suku dan Laporan Suku yang pertama untuk JENDELA akan dibentangkan pada pertengahan Disember ini,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kemudahan mengakses Internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedang diuruskan oleh MCMC di seluruh negara.
“Data-data yang dikemukakan ini adalah terkini dan merupakan maklumat tambahan kepada rumusan tinjauan yang dikumpul oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2016 dan yang terbaharu pada 2019.
“Tinjauan tersebut dilakukan secara berkala. Statistik langganan Internet dan pemilikan peranti dilaporkan secara tahunan oleh MCMC dan agensi-agensi lain yang berkenaan,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, penembusan capaian internet dalam kalangan keluarga B40, sama ada melalui sambungan talian atau mudah alih, ketika ini berada pada tahap memberangsangkan.
“Berdasarkan tinjauan penggunaan internet tahun ini, 95.4 peratus individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 didapati mempunyai langganan internet, manakala kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 ialah 82.2 peratus.
“Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan, untuk membantu anak-anak yang bersekolah menyelesaikan tugasan di rumah ketika penutupan sekolah di seluruh negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sebagai langkah mengatasi cabaran itu, semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar RM180 kepada golongan B40,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, syarikat-syarikat telekomunikasi turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 itu, namun tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan.
“Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan meneruskan program 1GB data percuma setiap hari sehingga penghujung tahun ini untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran.
“Kemudahan mengakses internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah, turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti yang sedang diuruskan oleh MCMC di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Comentários