- Wartawan Nabalu News
Masyarakat diseru terus beri kerjasama kepada polis

25 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TUARAN: Masyarakat diseru agar terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuhkan lagi hubungan baik dalam menjalankan tugasan menjaga keselamatan rakyat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata ini selaras dengan slogan `Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
"Kerjasama itu adalah dari segi penyaluran maklumat, bantuan fizikal, aset atau sumbangan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa bagi membolehkan pihak polis menjalankan tugas dengan lebih cekap dan bersemangat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hj Hajiji Hj Noor, di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan daerah Tuaran, Pegawai Kanan dan anggota PDRM di IPD Tuaran, serta pemimpin masyarakat di daerah Tuaran.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli berkata, banyak cabaran baharu termasuk pertambahan tugasan dihadapi pihak PDRM khususnya dalam menghadapi Pandemik COVID-19, sebagai petugas barisan hadapan.
"Mereka (PDRM) telah menjalankan tugasan dengan cemerlang dan tentu sekali bagi pihak kerajaan, kita sangat menghargainya," katanya.
Beliau berharap anggota PDRM di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Tuaran dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara.
Terdahulu itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, membacakan perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat membantu PDRM Daerah Tuaran.