Mayat ditemui tergantung dipercayai mengalami masalah gangguan jiwa
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

8 Mei 2025
TAWAU: Identiti mayat mangsa yang ditemui tergantung di dahan pokok dekat Taman Megah Jaya 9, pada Selasa lalu, sudah dikenalpasti.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa turut dipercayai mengalami masalah gangguan jiwa.
Katanya, waris mangsa iaitu adik iparnya melakukan pengecaman di kamar mayat Hospital Tawau, semalam dan mengesahkan identiti mangsa tersebut.
"Mangsa adalah lelaki warganegara Indonesia berumur 49 tahun,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil temubual dengan waris tersebut, si mati dipercayai mengalami masalah gangguan jiwa.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian belum diperoleh kerana proses bedah siasat hanya akan dijalankan esok (Jumaat).
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis juga menunggu laporan bedah siasat tersebut bagi mengetahui sebab-sebab kematian,"katanya.
Jasmin berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (Sudden Death Report - SDR).
Untuk rekod, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tergantung di dahan pokok, disyaki menggantung diri pada Selasa lalu, manakala polis menerima maklumat berkaitan penemuan itu pada jam 10.45 pagi.
Ketika ditemui, mayat kelihatan sudah hitam pada keseluruhan jasadnya, namun, keadaan fizikal masih sempurna.
Comments