MAYAT MANGSA BOT KARAM DITEMUI DI PANTAI KUALA ABAI
- Wartawan Nabalu News
- Jan 19, 2021
- 1 min read

19 Jan 2021
KOTA KINABALU: Mayat mangsa bot karam ditemui terdampar di pantai Kampung Kuala Abai Kota Belud, pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Rescue Sub Centre (MRSC) menerima maklumat mengenai penemuan satu mayat terdampar di kawasan itu kira-kira jam 7 pagi tadi.
"MRSC Kota Kinabalu mengaktifkan operasi CARILAMAT pada 12.00 tengahari semalam selepas menerima maklumat berkenaan sebuah bot gentian kaca (fiberglass) bersama dua nelayan yang karam dipukul ombak di sekitar perairan Kuala Abai.
"Adik mangsa, Norzeli Sitong, 35, berenang ke kawasan pantai berdekatan sebelum membuat laporan mengenai kejadian yang menimpa mereka, semalam.
"Mayat mangsa, Nojan Sitong telah ditemui oleh penduduk kampung yang turut sama melakukan pencarian. Mayat mangsa dibawa ke rumah beliau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat.
"Operasi Carilamat ditamatkan pada jam 8.45 pagi ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Operasi Carilamat mangsa bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Segama, Sandakan pada 15 Januari lalu ditamatkan jam 6.30 petang semalam.
Pencarian mangsa yang memasuki hari keempat semalam masih belum menemui sebarang petunjuk positif. Bagaimanapun aset-aset yang beroperasi secara rutin harian akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi kejadian.
Keluasan sektor pencarian selama empat hari itu merangkumi keluasan 754 batu nautika persegi dengan penglibatan sembilan aset dari pelbagai agensi serta jabatan.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim terutamanya di perairan Sabah untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau bencana di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387774.















Comments