Mayat Terapung Dilaporkan Orang Hilang Di Lawas
- nabalunews
- Aug 18
- 1 min read

18 Ogos 2025
LABUAN: Mayat lelaki yang ditemui terapung di Pantai Tanjung Batu, di sini, Sabtu lalu, dikenal pasti berkaitan dengan laporan orang hilang pada 14 Ogos lalu di Sundar, Lawas, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, mayat berkenaan ditemui seorang wanita kira-kira jam 12 tengah hari ketika sedang mencari landak laut sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan sebelum dihantar mayat ke Hospital Labuan.

“Pemeriksaan awal mendapati, mayat sudah berada dalam keadaan mengembang dan beberapa bahagian kulit turut mengelupas.
“Pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan kematian mangsa pada jam 2.19 petang dan setakat ini, tiada kesan kecederaan fizikal yang nyata ditemui pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa dikenali sebagai Assan Osman berusia 65 tahun iaitu nelayan dari Lawas, Sarawak.

Katanya, mangsa dilaporkan hilang oleh anak menantunya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan dan udang.
“Usaha mencari mangsa sudah dijalankan ahli keluarga dan penduduk kampung namun hanya berjaya menemui perahu mangsa di laut Sundar,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hamizi berkata, ahli keluarga yang berjaya dikesan telah dipanggil ke Hospital Labuan untuk membuat pengecaman.
“Beberapa tanda pada tubuh mayat sepadan dengan mangsa dan disahkan sendiri oleh anak kandungnya yang hadir ke Jabatan Forensik Hospita Labuan semasa proses bedah siasat, semalam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan gambar bagi mengelakkan gangguan siasatan serta menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa,” katanya.
Comments