MCMC AMBIL TINDAKAN TANGANI MASALAH CAPAIAN INTERNET DI BEBERAPA LOKASI DI SABAHMCMC AMBIL TINDAKAN TANGANI MASALAH CAPAIAN INTERNET DI BEBERAPA LOKASI DI SABAH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MCMC AMBIL TINDAKAN TANGANI MASALAH CAPAIAN INTERNET DI BEBERAPA LOKASI DI SABAH



Gambar hiasan

7 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi penduduk di beberapa lokasi di Sabah.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, lokasi-lokasi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai, Tongod, Pulau Sebatik Tawau, Kg.Sungoi Darat Kota Marudu dan Kampung Ulu Entabuan Tenom.


Beliau berkata, susulan laporan media mengenai masalah capaian Internet yang dihadapi seorang guru di Sekolah Kebangsaan Desa Permai di Tongod, Kinabatangan, MCMC menjalankan siasatan untuk mengenalpasti masalah itu.


“Satu pertemuan telah diadakan antara pihak MCMC Sandakan dan penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan Cikgu Nasir ketika guru berkenaan sedang menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran bersama seorang pelajar, bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi selain menjelaskan perancangan MCMC untuk menyelesaikan masalah berkenaan.


“Untuk penyelesaian jangka panjang, lokasi di mana sesi Pengajaran dan Pembelajaran guru berkenaan dengan pelajarnya di Kg. Tulang-Tulang telah dimasukkan dalam perancangan pelaksanaan menara komunikasi baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.


“Kerja-kerja pembinaan menara baharu akan bermula awal tahun 2022 dan dijangka siap Disember 2022.


“Sementara itu, servis menara sedia ada di Kg. Kuamut dalam pelaksanaan naik taraf kepada 4G di bawah pelan JENDELA yang djangka siap pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Menurut kenyataan itu, bagi Pulau Sebatik, Tawau pula, pihak MCMC Tawau bersama penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu selain melaksanakan ujian kelajuan jalur lebar di lokasi aduan.


“Bagi penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi telah dibina di Kampung Tamang dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.


“Pembinaan menara berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sekaligus mempertingkatkan capaian Internet di kawasan pengadu.


“Ini juga akan membolehkan para penduduk di sekitar Kg. Tamang, SMK Wallace Bay dan penduduk sekitarnya untuk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar,” katanya.


Bagi, Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu, kampung itu telah disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT).


Katanya, pelaksanaan inisiatif MOSTI Sabah dijangka akan dilaksanakan sekitar Julai-September 2021. Manakala bagi penyelesaian jangka panjang pula, lokasi ini akan dimasukkan dalam perancangan JENDELA fasa akan datang.


Mengenai masalah capaian internet di Kampung Ulu Entabuan, Tenom, kerja-kerja menaik taraf liputan 4G menara komunikasi di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di bawah JENDELA sedang dilaksanakan dan dijangka siap Januari 2022.


“Usaha ini akan dapat meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Kampung Ulu Entabuan,” katanya.


Tindakan itu diambil berikutan laporan media mengenai capaian internet yang lemah memaksa dua pelajar bernama Richeal Claudia Rabinus dan Cypriantine Severinus meredah kebun getah di kawasan berbukit untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


“MCMC akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan untuk menangani masalah capaian Internet di seluruh negara,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page