MCMC perkenal standard mandatori daftar SIM prabayar, banteras penipuan dalam talian
- nabalunews
- 31 minutes ago
- 2 min read

26 Februari 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkenalkan kerangka baharu pendaftaran SIM prabayar menerusi Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar.
MCMC dalam kenyataannya berkata, penentuan itu dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan Seksyen 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai langkah tegas membanteras penipuan dalam talian dan penyalahgunaan identiti.
“Standard Mandatori ini diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada penyalahgunaan identiti, penipuan serta penggunaan kad SIM tanpa kebenaran, selain memastikan perkhidmatan mudah alih kekal mudah diakses.
“Pada masa sama, pelaksanaannya mengambil kira keseimbangan antara keperluan keselamatan, kemudahan akses pengguna serta perlindungan data peribadi,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
Katanya, standard baharu itu menekankan penggunaan pengesahan biometrik dan MyDigital ID untuk pendaftaran kendiri, platform automatik selamat bagi mengelakkan pendaftaran palsu serta kawalan lebih ketat terhadap pendaftaran bukan warganegara termasuk pengesahan pasport berasaskan biometrik.
Antara langkah utama diperkenalkan ialah had pemilikan lima kad SIM bagi setiap individu warganegara bagi setiap penyedia perkhidmatan, manakala bukan warganegara dihadkan kepada dua kad SIM.
“Sementara itu, pendaftaran kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang, manakala bagi umur 12 hingga 17 tahun perlu didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga dengan maklumat dan persetujuan mereka direkodkan.
“Pengguna juga perlu dimaklumkan status pendaftaran dalam tempoh 12 jam, manakala kad SIM pelancong dihadkan kepada tempoh penggunaan maksimum tiga bulan sebelum ditamatkan secara automatik,” katanya.
MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan dan pengedar yang dilantik supaya memastikan pelaksanaan standard mandatori itu dilaksanakan sepenuhnya dan mengikut garis masa ditetapkan.
Katanya, tindakan pengawalseliaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi ketetapan tersebut demi menjamin ekosistem komunikasi yang lebih selamat dan terjamin.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai agar mendaftar kad SIM prabayar hanya melalui penyedia perkhidmatan berlesen serta pengedar yang dibenarkan, selain sentiasa berwaspada terhadap saluran pendaftaran yang tidak sah.











