top of page

Pan Borneo Sabah Fasa 1A siap suku pertama 2027, Fasa 1B 2028

  • nabalunews
  • Feb 26
  • 2 min read

26 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A siap sepenuhnya pada suku pertama 2027, manakala Fasa 1B dijadualkan siap pada suku keempat 2028.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata kedua-dua fasa itu membabitkan jajaran sepanjang 706 kilometer (km) merangkumi 35 pakej kerja.


“Setakat Januari 2026, Fasa 1A yang merangkumi 15 pakej kerja sepanjang 318 kilometer kini mencatatkan kemajuan fizikal 86.6 peratus, dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.


“Fasa 1B pula meliputi 19 pakej sejauh 388km sudah mencapai kemajuan 13.56 peratus. Fasa 1B tidak boleh kita arahkan siap lebih awal kerana ia baru dimulakan tahun lalu dan dijangka siap suku keempat 2028,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berhubung cadangan naik taraf jalan Persekutuan membabitkan laluan Tamparuli-Ranau dan langkah kerajaan mengatasi kesesakan di laluan berkenaan.


Ahmad menjelaskan, fokus utama KKR pada ketika ini adalah untuk memastikan projek LPB Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.


“Setelah kedua-dua fasa siap sepenuhnya, maka cadangan naik taraf Jalan Kiulu–Pahu–Tamparuli empat lorong kemungkinan akan dilaksanakan dalam projek jajaran alternatif di bawah Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2,” ujarnya.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai isu penyelenggaraan jalan yang tidak dilaksanakan dengan baik oleh kontraktor projek LPB, Ahmad memberi amaran tegas kepada syarikat berkenaan.


Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berhak menukar kontraktor sekiranya didapati gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan.


“Saya telah menjelajah hampir seluruh Sabah pada tahun lalu dan melalui jalan-jalan berkaitan serta membuat pemantauan dan teguran terhadap laluan yang tidak diselenggara dengan baik.


“Saya juga memberi amaran, sekiranya kerja penyelenggaraan tidak dilaksanakan dengan sempurna, JKR Sabah berhak melantik kontraktor lain,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page