top of page

Tuntuan hak Sabah, Sarawak perlu dinilai dalam kerangka adil

  • nabalunews
  • 27 minutes ago
  • 2 min read

26 Februari 2026


KOTA KINABALU: Tuntutan Sabah dan Sarawak berhubung hak kewangan serta hasil negeri perlu dinilai dalam kerangka yang adil dan berprinsip selaras dengan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia.


Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata, pandangan yang menyuarakan kebimbangan bahawa tuntutan berkenaan boleh menjejaskan kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan wajar dihormati.


Namun katanya, perbahasan tersebut perlu meletakkan asas keadilan sebagai pertimbangan utama, dengan mengambil kira hak yang telah sekian lama tertangguh.


“Apa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu dan bukan juga tuntutan berlebihan. Ia adalah hak yang sewajarnya diperoleh seperti yang termaktub dalam semangat pembentukan Persekutuan.


“Dalam tuntutan ini tersimpan harapan jutaan rakyat yang mahu melihat Sabah dan Sarawak benar-benar dilayan sebagai rakan setara bukan sekadar pada lafaz, tetapi pada pelaksanaan dan hasilnya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan ialah hak Sabah terhadap pemberian khas Persekutuan serta pendirian Sarawak berkaitan kesahihan perlembagaan dan pemakaian undang-undang petroleum.


Beliau berpandangan, sebarang pelarasan yang memihak kepada negeri sudah tentu memberi implikasi kepada hasil Persekutuan, namun pertimbangan fiskal tidak harus terus dijadikan alasan untuk menangguhkan hak yang sewajarnya dilaksanakan.


“Selepas lebih lima dekad, jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri di Semenanjung masih jelas kelihatan.


“Di Sabah khususnya, isu asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jaringan jalan raya masih menjadi cabaran harian rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.


“Masih terdapat kampung yang tidak dapat diakses melalui jalan darat, sistem perhubungan antara daerah yang belum tersusun secara menyeluruh, serta capaian internet yang jauh ketinggalan,” ujarnya.


Katanya, Projek Lebuhraya Pan Borneo hanya bermula pada 2017, sedangkan negeri-negeri di Semenanjung telah lama menikmati sistem perhubungan moden, manakala peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tidak mencukupi turut memburukkan keadaan apabila keperluan sebenar jauh melebihi jumlah diluluskan.


Dalam pada itu, beliau mengakui usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkenaan, namun menyifatkan langkah tersebut masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah secara menyeluruh dan tuntas.


“Sabah memerlukan suntikan dana lebih besar dan fleksibiliti pentadbiran untuk mengurus dan menyelesaikan masalah legasi yang berlarutan sekian lama. Ini bukan soal retorik politik, tetapi soal tanggungjawab terhadap rakyat yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.


“Justeru, pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai beban fiskal, sebaliknya sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh kekuatan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.


Beliau berkata kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak diyakini tidak pernah berniat untuk melemahkan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.


Sehubungan itu, katanya pendekatan rundingan yang matang serta berteraskan semangat federalisme tulen perlu dijadikan asas dalam merangka formula yang lebih adil dan pragmatik demi kepentingan bersama.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page