MCMC peroleh injunksi halang kandungan mudarat Edisi Siasat, Edisi Khas
- nabalunews
- Oct 31, 2025
- 1 min read

31 Oktober 2025
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah Injunksi bagi menghalang akaun Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas daripada menyiarkan kandungan berunsur mudarat.
MCMC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu menandakan langkah penting dalam usaha berterusan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan seiring dengan kepentingan awam.
"Melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan memudaratkan seperti dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa.
“Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran "Edisi Siasat" dan "Edisi Khas" serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, perintah injuksi tersebut bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan dan menghasut yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara.
Mahkamah dalam keputusannya menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dengan keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC.
“Mahkamah mengambil kira bahawa kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan,” jelas kenyatan itu.
Dalam masa sama, mahkamah turut mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram perlu peka terhadap konteks sosial dan perlembagaan Malaysia, selain menghormati undang-undang tempatan.















Comments