MCMC siasat hantaran palsu guna logo Buletin TV3
- nabalunews
- Dec 30, 2025
- 1 min read

30 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka satu kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3, mendakwa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan penutupan TikTok di Malaysia.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seorang individu yang disyaki terlibat dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak, dan turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan awal mendapati kandungan berkenaan sudah diubah suai dan disahkan sebagai palsu, selain menegaskan bahawa kenyataan itu tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.
“Media Prima Berhad turut membuat laporan polis dan menafikan hantaran itu diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian mereka.
“Penafian tersebut turut menjelaskan bahawa penggunaan logo dan identiti visual Buletin TV3 dalam hantaran palsu itu merupakan penyalahgunaan yang sengaja mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Media Prima menegaskan hantaran terbabit adalah palsu dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, sambil menyifatkan tangkap layar yang tular tersebut adalah fitnah semata-mata.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial.
Jelas suruhanjaya itu, penyebaran kandungan palsu dan penyalahgunaan identiti bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.


















Comments