top of page

MCS santuni penduduk Kampung Pangaraan

  • nabalunews
  • Oct 6
  • 2 min read

Norali menyampaikan plak program kepada Lindang.
Norali menyampaikan plak program kepada Lindang.

6 Oktober 2025


NABAWAN: Perbendaharaan Sabah (PMSabah) melalui program Perkhidmatan Komuniti Bergerak atau Mobile Community Services (MCS) menyantuni penduduk Kampung Pangaraan iaitu salah satu kampung yang terpencil di daerah ini.


Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah Norali @ Ag Norali Bin Ag Damit berkata, pihaknya memilih kampung terpencil ini sebagai lokasi program memandangkan penduduknya sukar keluar ke pekan untuk mendapatkan perkhidmatan dan berurusan di jabatan dan agensi yang berkaitan.


Katanya, ini berikutan dengan jalan perhubungan yang tidak sempurna disamping jarak yang jauh ke pekan.

Kelihatan penduduk kampung yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang terlibat dalam program itu.
Kelihatan penduduk kampung yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang terlibat dalam program itu.

"Justeru itulah PMSabah memilih kampung ini sasaran program pada kali ini" katanya kepada media ketika ditemui pada program MCS di Kampung Pangaraan pada Sabtu.


Sebanyak 12 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah membuka kaunter masing-masing dan memberikan perkhidmatan kepada penduduk.


Norali berkata, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada penduduk kampung terlibat berurusan bersemuka dengan pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi yang berkaitan.


"Penduduk juga boleh mendapatkan khidmat nasihat sekiranya ada kemusykilan yang hadapi kepada jabatan dan agensi Kerajaan yang berkaitan dengan urusan mereka" jelasnya.


Norali memberitahu, pada tahun ini PMSabah telah merancang 12 program MCS di mana Kampung Pangaraan merupakan lokasi yang kesepuluh dan pada 11 Oktober ini program sama akan diadakan pekan Pensiangan dan yang terakhir di Sipitang.


Sementara itu Ketua Kampung Pangaraan Lindang Lambang merakamkan penghargaan dan ucapan terima kepada PMSabah atas pemilihan kampung mereka sebagai lokasi program.


Katanya, program MCS ini amat bermanfaat kepada penduduk kampung kerana ia melibatkan banyak jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang sememangnya diperlukan oleh penduduk kampung.


"Ramai yang mendapat perkhidmatan seperti permohonan kad pengenalan baharu, penggantian kad pengenalan yang rosak di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang menjadi pada program itu" katanya.


Begitu juga katanya, dengan kaunter-kaunter jabatan dan agensi kerajaan yang lain termasuk kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak sunyi daripada kunjungan penduduk kampung.


Selain membuka kaunter, jabatan dan agensi Kerajaan yang berkaitan juga masing-masing memberi taklimat ringkas berhubung peranan jabatan dan agensi.


Program itu turut diserikan dengan cabutan tiket bertuah dan penyampaian buah tangan daripada PMSabah kepada penduduk kampung.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page