Membentuk Malaysia sebenarMembentuk Malaysia sebenar
top of page
  • Writer's pictureMaxolvin Sintore Gabu

Membentuk Malaysia sebenar


16 Sept 2021

Oleh Maxolvin Sintore Gabu


Pada tahun 2009, saya mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA di Selangor. Selama tiga tahun sebagai pelajar university, saya bukan hanya belajar mengenai dengan akedamik malah mendapat peluang untuk mempelajari budaya dan cara hidup rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia.


Bukan hanya itu, saya juga mendapati bahawa begitu mudah untuk mendapat pekerjaan sampingan yang menawarkan gaji yang bagi saya adalah lumayan di seberang sana.


Sebagai contoh, saya bekerja secara sambilan di sebuah hotel sebagai seorang pelayan di restoren dengan kadar upah RM5 sejam. Ini adalah pada tahun 2009. Jika kita ingat Kembali, pada tahun yang sama, kadar gaji di Sabah adalah jauh lebih murah daripada ini.


Pada 2012, saya mendapat tawaran kerja dalam bidang minyak dan gas. Hampir setiap hari saya melihat data mengenai minyak dan gas yang datang daripada Sabah.


Ini bukanlah sulit, kerana umum mengetahui bahawa Sabah merupakan pengeluar minyak terbesar di Malaysia dan Sarawak merupakan pengeluar gas terbesar di Malaysia. Ini bermaksud, Sabah dan Sarawak menyumbang kepada pendapatan negara, secara langsung melalui industri minyak dan gas.


Saya berpeluang untuk tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur daripada tahun 2009 sehingga 2014. Dalam masa ini, saya dapat melihat perbezaan yang sangat ketara dari segi ekonomi (peluang pekerjaan), pembangunan infrastuktur mahu dari segi jalan raya, sekolah, bekalan air bersih, kenderaan awam (RapidKL, ERL, LRT, KTM) dan juga dalam sector kesihatan.


Tidak lupa juga dengan harga barangan asas yang mahal di Sabah. Ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati saya sebagai seorang belia Sabah pada Ketika itu.


Atas alasan itu, saya bertekad akan bersuara dan bertindak untuk memperbetulkan keadaan. Namun, sebagai belia, kita diberi gelaran darah muda, kerana terlalu agresif.


Semasa saya menetap di Kuala Lumpur, terdapat satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia – SSKM. SSKM begitu aktif dalam mengumpul tandatangan bagi mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.


Pada masa itu, dengan fikiran yang pendek, saya tanpa berfikir dua kali telah menandatangani petisyen itu, malah saya telah mempromosikan petisyen itu kepada sahabat dan keluarga saya.


Saya tidak pernah menyesal untuk menandatangi petisyen itu, saya anggap itu adalah pandangan ikhlas saya sebagai seorang belia Sabah yang telah merantau keseluruh negeri dalam Malaysia ini. Saya telah buat perbandingan, dan kesimpulan daripada pebandingan saya itu saya terjemahkan dalam bentuk tandatangan SSKM.


Namun, pada hari ini, apabila saya berfikir secara rasional, memfokuskan fikiran saya kepada persoalan seperti, kenapa Malaysia ini gagal melayan semua wilayah dengan adil, kenapa pembangunan di Sabah begitu jauh sekali jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, saya mendapat dua jawapan, iaitu penggunaan dasar yang tidak adil yang digunakan dalam system pemerintahan negara kerana kerajaan yang terlalu berpusatkan Kuala Lumpur tidak memahami keperluan orang Sabah dan kegagalan rakan kita di Semenanjung Malaysia untuk memahami apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.


Maka bagi saya sebagai salah seorang belia yang akan mewarisi Negara Malaysia ini, saya ingin melihat agar Malaysia Yang Sebenar dapat dibentuk berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963.


Dan untuk melakukan ini, rakan-rakan di Semenanjung Malaysia harus dapat memahami keadaan di Sabah. Saya percaya masih ramai rakan-rakan di sana yang tidak mengetahui keadaan sebenar di Sabah. Mereka hanya mengetahui Pulau-Pulau pelancongan, Kundasang, Makanan Laut, Gunung Kinabalu, Sungai Kedamaian di Kota Belud, dan Kawasan pelancongan lain.


Namun, mereka tidak mengetahui keperitan rakyat Sabah yang inginkan peluang pekerjaan dicipta di Sabah, gaji minimum yang sama rata di Sabah dan di sana, harga barang yang sekata di Sabah dan di sana, sekolah yang baik dan selamat untuk anak-anak seperti di sana, jalan raya yang baik untuk ke hospital seperti di sana, hospital yang cukup seperti di sana, dan banyak lagi.


Pada hari ini, masih terlalu ramai anak muda terpaksa berhijrah ke sana untuk mencari pekerjaan. Pada hari ini semua pembangunan mega hanya berlaku di sana. Adakah pada hari esok apabila ibu kota Indonesia berpindah di Kalimantan, anak muda Sabah akan berhijrah pula ke Indonesia untuk mencari rezeki?


Masih belum terlambat, kita masih boleh menjadikan Malaysia ini sebagai Malaysia Sebenar.


Dalam kita berdoa, kita juga berusaha agar pintu hati para pemimpin negara akan terbuka untuk menjadikan Malaysia sebagai Malaysia Idaman bagi setiap rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


bottom of page