Mengangkat Solidariti Antarabangsa: Misi Flotilla Kemanusiaan ke Gaza
- nabalunews
- Oct 3
- 2 min read

3 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan sokongan penuh terhadap misi flotilla kemanusiaan antarabangsa ke Gaza yang disertai oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menerusi Freedom Flotilla Coalition (FFC) 2025.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS, Dr Amer Hudhaifah Hamzah berkata, penyertaan MyCARE dalam pelayaran itu merupakan bukti keteguhan komitmen rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak kemanusiaan penduduk Palestin.
Katanya, penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza yang berlarutan sejak 1948, terus mendapat perhatian masyarakat dunia. Justeru, solidariti antarabangsa melalui flotilla kemanusiaan ini adalah suara bersama menentang penindasan rejim Zionis Israel.
“Sebanyak 497 peserta daripada 46 negara, termasuk Malaysia, menyertai misi ini dengan menaiki kapal persiaran bagi membawa bantuan makanan, pakaian, ubat-ubatan serta keperluan asas kepada kanak-kanak, wanita dan warga tua di Gaza.
“Misi ini adalah usaha masyarakat sivil antarabangsa, tanpa sebarang elemen ketenteraan atau keganasan,” katanya.
Dr Amer menegaskan, tindakan Israel memintas dan menahan puluhan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) semalam adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
Lebih membimbangkan, katanya, ramai aktivis, wartawan, doktor serta peserta flotilla kini hilang hubungan dengan dunia luar.
“Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan seramai 23 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel.
Rakaman video yang tular turut memperlihatkan penggunaan kekerasan termasuk serangan meriam air ke atas peserta flotilla,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr Amer menyifatkan pelepasan flotilla FFC yang disertai MyCARE sejak semalam sebagai sangat signifikan, khususnya bagi menyambung usaha flotilla terdahulu seperti Mavi Marmara (2010), Women’s Boat to Gaza (2016), Just Future for Palestine (2018), Handala (2023), serta Break the Siege dan Handala (2024).
“Keteguhan MyCARE dalam menyertai gelombang ketujuh flotilla ini adalah bukti keberanian dan komitmen kemanusiaan rakyat Malaysia yang tidak pernah luntur,” katanya.
Dalam pada itu, FIS UMS turut merakamkan penghargaan kepada MyCARE yang merupakan rakan strategik fakulti tersebut.
Jelas Dr Amer, pihaknya berdiri teguh memberikan sokongan penuh terhadap perjuangan kemanusiaan antarabangsa itu.
“Kami mendoakan agar segala usaha ini dipermudahkan, diberkati Allah SWT dan sampai dengan jayanya kepada saudara kita di Gaza yang terus dizalimi rejim Zionis,” ujarnya.


















Comments