Mesyuarat Khas SPR Untuk Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

9 Disember 2025
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan bermesyuarat pada 16 Disember depan bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.187 Kinabatangan dan DUN N.58 Lamag.
Ia bagi mengisi kekosongan luar jangka membabitkan kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pemakluman rasmi mengenai kekosongan berkenaan telah diterima daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul pada 8 Disember serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada 9 Disember lalu.
Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan disahkan oleh SPR.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa) bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.187 Kinabatangan dan DUN N.58 Lamag.
“Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan akan memperincikan beberapa perkara utama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, ia termasuk tarikh penting PRK seperti pengeluaran Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya.
“SPR turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas berkenaan berakhir bagi mengumumkan keputusan serta tarikh-tarikh penting berkaitan PRK tersebut,” katanya.


















Comments