top of page

Mesyuarat Majlis SDG Negara Setuju Cadangan Pelan Strategik ESG Kebangsaan - PM

  • nabalunews
  • Dec 18, 2024
  • 1 min read

18 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024, hari ini untuk membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia ke peringkat melangkaui tahap pematuhan sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.


“Saya singgung keperluan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG, justeru disarankan bantuan latihan penerapan ESG turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


“Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran memperkukuh program latihan bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, lapor Bernama.


Anwar berkata berhubung prestasi semasa indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara, mesyuarat dimaklumkan Malaysia mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030.


Beliau berkata ia mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17 peratus.


“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara, seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiat dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dirangka,” kata beliau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page