top of page

MHEANS perkenal enakmen baharu EMANS 2025

  • nabalunews
  • May 1
  • 2 min read


Hajiji disambut orang ramai sebaik tiba di Rumah Terbuka Pisompuruan Tambunan untuk majlis pelancaran Pesta Kaamatan 2025
Hajiji disambut orang ramai sebaik tiba di Rumah Terbuka Pisompuruan Tambunan untuk majlis pelancaran Pesta Kaamatan 2025

1 Mei 2025


TAMBUNAN: Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) telah menyediakan draf enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 (EMANS 2025)


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, draf berkenaan kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).


Katanya, draf itu memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.


"Ini merupakan versi baharu menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan memperkasa institusi tersebut.


“Ini yang sedang kita buat bagi memastikan agar Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan dan relevan,” katanya.


“Ia adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.


Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.


SSL Sabah ketika ini hanya 22.8 peratus, dan negeri ini masih bergantung kepada makanan yang diimport, katanya.


Atas sebab itu, katanya Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu, dan kini sedang giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.


“Sudah pasti ini akan membantu usaha MAFFI untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.


Mengulas mengenai program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan pada hari Rabu (30 April), Ketua Menteri berkata ia selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam Kerajaan Negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.


“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik melonjak pengeluaran hasil pertaniandemi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.


“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, tetapi juga merupakan usaha untuk memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.


“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan, dan pembukaan peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.


Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.


“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan, dan golongan muda kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh, bersatu dan sejahtera.


Saya berharap program ini akan membantu komuniti petani, khususnya di luar bandar,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page