MIHAS platform terbaik usahawan industri halal perkasakan rangkaian perniagaan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MIHAS platform terbaik usahawan industri halal perkasakan rangkaian perniagaan: Ewon


12 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) adalah platform terbaik usahawan industri halal atau syarikat tempatan memperkasa dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.


Beliau berkata, tahun ini SME Bank sebagai agensi peneraju bagi pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membawa 24 pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka bersama-sama agensi KUSKOP.

“Seramai 12 daripada pempamer yang ditampilkan adalah peserta Business Export Program (BEP), satu inisiatif KUSKOP di bawah SME Bank.


“Penyertaan usahawan-usahawan itu dalam MIHAS adalah sebahagian daripada misi pecutan eksport (EAM), inisiatif di bawah BEP bagi membolehkan mereka berdaya saing meneroka pasaran halal di peringkat global.

“Inisiatif ini akan menjadi peluang terbaik mereka mendekati rakan kongsi dan pelabur berpotensi,” katanya selepas menyaksikan majlis ringkas pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.


Dua MoU antara SME Bank ditandatangani diantara HDC dan Perak SADC bertujuan menjalin kerjasama membangunkan usahawan PKS dalam industri halal.

SME Bank diawakili oleh Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wira Dr.Aria Putera Ismail, manakala HDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari dan Perak SADC pula diwakili oleh Ketua Pengarah Eksekutifnya Haji Yahanis Yahaya.


Ewon berkata, MoU antara SME Bank dengan HDC dan Perak SADC menunjukkan komitmen berterusan kementeriannya memperkasakan industri halal di negara ini.


Pameran terbesar dunia yang dikhususkan untuk industri halal itu disertai 40 negara, bermula hari ini sehingga 15 September.


Terdahulu itu Ewon menghadiri majlis perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2023 sempena MIHAS, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page