top of page

MILIKI TANAMAN HIASAN ALOCASIA TIDAK PERLU PERMIT JABATAN HIDUPAN LIAR

  • nabalunews
  • Dec 1, 2020
  • 1 min read

1 DIS 2020


KOTA KINABALU: Penggemar tanaman hiasan tumbuhan jenis alocasia boleh memiliki atau menjual tanaman berkenaan kerana ia tidak terletak di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga.

Bagaimanapun, katanya orang ramai dinasihatkan agar tidak memetik atau mengambil tumbuhan itu jika berada di dalam hutan simpan atau kawasan yang dilindungi melainkan mendapat kebenaran daripada jabatan atau agensi yang diamanahkan menjaga kawasan berkenaan.

“JHL mempunyai platform Facebook dan Instagram 5R Hidupan Liar bagi orang awam mengetahui sebaran am yang dikeluarkan oleh jabatan, membuat rujukan mengenai hidupan liar yang dilindungi dan mempelajari lebih banyak mengenai perlindungan hidupan liar di Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Augustine berkata demikian bagi mengulas mengenai mesej yang tular dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa bahawa penggemar tanaman itu akan disaman jika didapati memiliki tumbuhan berkenaan.

Beliau berkata melalui program Sembang Santai yang dilaksanakan dalam laman Facebook 5R Hidupan Liar, jabatan dapat berinteraksi dengan orang awam bagi memberi pencerahan serta berkongsi pendapat untuk bersama-sama melindungi hidupan liar di Sabah dan orang ramai amat digalakkan untuk mengikuti laman sosial berkenaan.

Alocasia ialah sejenis tumbuhan keladi didapati tumbuh di hutan hujan tropika di Asia Tenggara dan biasanya dijumpai di kepulauan Borneo yang boleh mencapai ketinggian hingga empat meter.

Terdapat lebih 79 spesies tumbuhan itu telah ditemukan dan ia sangat digemari pencinta pokok hiasan kerana mudah dijaga selain mempunyai bentuk, corak dan warna daun yang menarik. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page