Minat syarikat China untuk melabur di Malaysia meningkat – PM
6 November 2024
SHANGHAI: Minat syarikat China untuk melabur di Malaysia meningkat hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.
Katanya, libat urus bersama pelabur China pada hari ketiga lawatan beliau menekankan tentang dasar dan suasana peraturan pelaburan untuk memudahcara kerjasama dengan Malaysia.
“Hari ini saya dengan menteri-menteri menumpu soal pelaburan, perbincangan sama ada satu ataupun dengan sekumpulan membicarakan tentang dasar kita, suasana peraturan pelaburan dan apa masalah dibangkitkan.
“Jadi saya lihat ada kecenderungan dan minat China yang meningkat dan ini satu perkembangan yang sangat positif.
“Walaupun dia agak orang kata dalam bahasa melelahkan dari pagi tidak putus kita adakan pertemuan ini tetapi saya fikir bermanfaat,” katanya apabila ditemui media selepas sesi meja bulat dengan 24 kapten industri, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu 31 syarikat dan kapten industri republik itu.
Jadual beliau hari ini bermula dengan Sesi Dialog bersama pelabur China termasuk Chengwei Capital dan NRL Capital, anjuran Khazanah Nasional Bhd.
Selain itu, Datuk Seri Anwar bermesyuarat bersama beberapa syarikat China dari sektor perbankan, tenaga dan kimia.
Ini melibatkan Bank of China, SinoChem, SICC Co, SEMCORP dan Zhejiang Jiahua Energy Chemical Industry Co.
Ini sebelum sesi meja bulat dengan 24 kapten industri sebelum berlepas ke Beijing malam ini.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Jumlah perdagangan dengan China tahun lalu mencatat RM450.84 bilion, menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Sementara itu Perdana Menteri, tiba di Beijing untuk meneruskan lawatan kerjanya di China, esok.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad dan Timbalan Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, Abu Bakar Mamat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Luar China Sun Weidong dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Tumpuan utama lawatan Datuk Seri Anwar sehari di Beijing esok adalah panggilan hormat bersama Presiden Xi Jinping.
Beliau juga dijadualkan mengunjungi Pusat Taklimat Eksekutif Huawei dan memberi syarahan di Peking University.
Comments