MCMC siasat lima individu sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

2 April 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga suspek telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan aduan diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua individu berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.
“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
“Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada pihak mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu berkata kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
"Orang ramai turut diingatkan agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam," katanya.















Comments