top of page

MINDET bangunkan ekosistem sokongan pembiayaan usahawan PKS di taman-taman perindustrian - Ewon

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

14 Februari 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) akan membangunkan ekosistem sokongan akses kepada pembiayaan bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di taman-taman perindustrian di Sabah.


Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya sedang merangka inisiatif bagi memudahkan akses pembiayaan kepada syarikat PKS yang ingin beroperasi di taman perindustrian, sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau Sabah Agro Industrial Park Sdn Bhd (SAIP).


“Antara cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan ialah syarat cagaran oleh institusi kewangan, terutama apabila tanah dan bangunan di taman perindustrian tidak boleh dicagarkan.


“Oleh itu, di peringkat kementerian, saya telah mengadakan perbincangan awal dan mendapat sokongan daripada pihak bank serta beberapa agensi berkaitan untuk melihat ruang membantu syarikat di Sabah mendapatkan pembiayaan.


Kita berharap kerjasama ini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap menyempurnakan Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Penampang Chinese Chamber of Commerce and Industry (PCCI), di Dewan Hakka, Likas, di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri oleh para pemimpin dan ahli-ahli dewan perniagaan dan persatuan perniagaan masyarakat Cina di negeri ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, kementeriannya akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Sabah tahun ini, meliputi aspek pengangkutan darat, laut dan udara termasuk keperluan logistik bagi menyokong ekosistem perusahaan dan perindustrian di negeri.


Selain itu, katanya MINDET juga akan meneruskan usaha mempromosi Sabah sebagai destinasi pelaburan termasuk penganjuran pertama Sabah Oil & Gas Services Conference & Exhibition pada Jun 2026 serta pembukaan dua lagi taman perindustrian baharu di Kudat dan Kota Belud.


Mengenai isu kesesakan Pelabuhan Teluk Sepanggar, beliau berkata, kementeriannya melaksanakan lapan pelan tindakan interim yang telah dipersetujui dalam Kabinet Negeri, selepas dibentangkan pada mesyuarat baru-baru ini.

“Selepas menerima aduan dan cadangan daripada pelbagai pihak, saya menjadikan isu ini sebagai keutamaan nombor satu untuk diambil tindakan.


“Saya yakin pelaksanaan langkah interim itu akan memperkemas operasi pelabuhan termasuk proses pelepasan barangan,” katanya dan menambah pendekatan kepimpinan yang sama juga akan diambil untuk menangani isu berbangkit di Pelabuhan Sandakan dan Tawau.


Sebagai Ahli Parlimen Penampang, Ewon menegaskan komitmennya untuk menjayakan Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035 termasuk bekerjasama dengan PCCCI dan 28 persatuan masyarakat Cina di kawasan itu.


“Saya yakin sambutan Tahun Baharu Cina ini akan memangkin kemajuan ekonomi, perusahaan dan kesejahteraan kepada para peniaga serta rakyat secara keseluruhan,” katanya.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page