MINDET bantu usahawan Sabah kembangkan produk ke Singapura: Ewon
- nabalunews
- 16 minutes ago
- 2 min read

24 Januari 2026
SINGAPURA: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus membantu syarikat serta usahawan Sabah mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran Singapura.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat Disember 2025, hanya 261 syarikat dari Sabah daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia yang berdaftar dengan Malaysia External Traded Development Corporation (MATRADE) Singapura.
Beliau berkata, selaras dengan Wawasan Sabah First, penskalaan perusahaan merupakan antara fokus utama MINDET, bermula dengan meningkatkan keupayaan pengeluaran, kualiti serta pematuhan standard produk dan perkhidmatan usahawan Sabah.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat Sabah, termasuk syarikat pemula (start-ups), dibangunkan supaya mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi standard pasaran antarabangsa, termasuk di Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke MATRADE Singapura dan perbincangan dua hala bersama Pengarahnya, Siti Nordiana, pada hari kedua lawatan kerja di sini, kelmarin.
Ewon turut menyatakan rasa bangga apabila dimaklumkan beberapa produk keluaran usahawan Sabah yang sudah berada di pasaran Singapura menerima sambutan positif.

“MINDET melalui DIDR dan STTOS akan terus bekerjasama rapat dengan MATRADE bagi membangunkan serta mempromosikan produk-produk usahawan Sabah yang dikeluarkan di negeri Sabah untuk pasaran luar negara,” katanya.
Dalam lawatan yang sama, Ewon turut mengadakan kunjungan ke pejabat Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Singapura dan perbincangan dengan Pengarahnya, Vinothan Tulisi.
Katanya, Singapura merupakan hab kepada ribuan syarikat multinasional dan beliau menghargai kerjasama MIDA Singapura bersama STTOS dalam mempromosikan serta memudah cara pelaburan ke Sabah.
“MINDET melalui STTOS akan menganjurkan Sabah Trade & Investment Forum pada bulan Ogos ini dan menjemput MIDA Singapura untuk turut terlibat dalam forum ini.
“MIDA Singapura juga telah mengenal pasti beberapa segmen perusahaan yang berpotensi serta syarikat yang merancang untuk meluaskan operasi mereka, termasuk ke Sabah,” katanya.
Katanya lagi, MINDET melalui STTOS akan terus memperhebat usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan dan perusahaan, termasuk menganjurkan Sabah Business Trip dengan kerjasama Singapore Business Federation (SBF).
Ewon dan rombongan turut mengadakan kunjungan ke Singapore Cooperation Enterprise (SCE) dan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tay Lian Chew serta pengurusan tertinggi agensi berkenaan.
Katanya, SCE mempunyai kolaborasi strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah dan akan menganjurkan Business Trip Program ke Sabah pada tahun ini, yang beliau cadangkan supaya turut merangkumi penyertaan dalam Sabah International Expo 2026.
Dalam kunjungan itu, Ewon turut diberi taklimat mengenai beberapa inisiatif utama yang dilaksanakan oleh SCE, termasuk pembangunan single interface platform bagi memudahkan permohonan lesen serta urusan berkaitan perniagaan dan keusahawanan di Singapura.
Menurutnya, inisiatif sedemikian wajar dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dan meningkatkan kemudahan urus niaga perniagaan di Sabah, khususnya dalam menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Turut serta dalam lawatan itu Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Perindustrian dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum dan Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin.














