Minta Duit Rokok Sebelum Samun Mangsa
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

5 May 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menyamun mangsa yang sedang membeli sayur di sebuah kebun di kawasan Hilltop, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 57 tahun dilaporkan mengalami kecederaan dan kerugian sejumlah wang akibat dilarikan penjenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa pergi ke kawasan berkenaan untuk membeli sayur.
Bagaimanapun katanya, dia dihampiri seorang lelaki yang memintanya ‘duit rokok’, namun tidak diendahkan oleh mangsa.
“Tidak lama kemudian, dua lelaki tidak dikenali muncul dan bertindak mencederakan mangsa sebelum melarikan beberapa barangan miliknya.
“Mangsa berusia 57 tahun yang ketakutan turut menyerahkan sejumlah wang tunai kepada suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau melancarkan operasi untuk mengesan suspek.
Katanya, hasil kecekapan pasukan polis menjalankan siasatan berjaya menahan salah salah seorang lelaki berusia 40-an di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sentosa.
“Ketika tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di balai polis dan hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun.
Comments