Minuman Keras Seludup Dalam Ruang Khas Ubahsuai Pacuan Empat Roda
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

5 Mei 2026
LABUAN: Cubaan menyembunyikan minuman keras seludup dalam ruangan yang diubahsuai pada kenderaan gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam operasi 27 April lalu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan berjaya ditahan ketika keluar daripada pulau berkenaan dengan menggunakan perkhidmatan feri RORO di Terminal Feri Kenderaan Labuan menuju ke Menumbok, Sabah.
Dalam kejadian jam 12.01 tengah hari itu, pemeriksaan mendapati sebanyak 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama disorokkan dalam ruang khas yang dibina di beberapa bahagian kenderaan berkenaan.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan oleh pasukan Cawangan Penguatkuasaan bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang terminal berkenaan.
Katanya, semua minuman keras itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa pengikraran dengan cara menyembunyikannya dalam ruang yang telah diubah suai pada kenderaan
“Nilai rampasan dianggarkan RM128,090, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM6,066.48, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM134,156.48.
“Dua lelaki yang disyaki terlibat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) hingga maksimum 20 kali ganda atau RM500,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Aspalila berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil cukai, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran,” tegasnya.















Comments