Minyak dan Gas: Sabah meterai perjanjian sehingga 20 peratus Back-In Option PSC Blok SB409
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Minyak dan Gas: Sabah meterai perjanjian sehingga 20 peratus Back-In Option PSC Blok SB409


Dr. Dionysia, Hasliza dan Aliff menandatangani LoU di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

16 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini menandatangani Surat Persefahaman (LoU) bersama dua syarikat pengeluaran minyak, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV), mengenai pengaturan Back-In Option Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Blok SB409.


Menerusi LoU tersebut, Kerajaan Negeri Sabah melalui syarikat miliknya, SMJ Sdn Bhd (SMJSB), akan ditawarkan Back-In Option sehingga 20 peratus faedah penyertaan, selepas penemuan komersial atau selesai komitmen kerja.


Blok SB409, seluas 14,556 km persegi, terletak di luar pesisir Barat Daya Sabah dan telah dianugerahkan kepada PCSB dan EPMV oleh Petronas pada Pusingan Pembidaan Malaysia (MBR) 2022.


Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Hasliza Othman, dan Ketua EPMV, Aliff Anwar, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.


Inisiatif ini merupakan pencapaian terbaru Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 7 Disember 2021.


CCA membolehkan Kerajaan Negeri Sabah menerusi SMJSB untuk meningkatkan perkongsian hasil dan mempunyai penyertaan serta pengaruh lebih besar dalam pengeluaran minyak dan gas di negeri ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah memberikan jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah termasuk di luar pesisir dan darat.


Tambah Hajiji, adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri bahawa Sabah mendapat lebih banyak daripada pengeluaran minyak dan gasnya.


Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan lebih banyak pengaturan dengan Petronas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page