top of page

Minyak Sawit Mentah Seleweng Dirampas

  • nabalunews
  • Oct 24
  • 1 min read

ree

24 Oktober 2025


TAMBUNAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas minyak sawit mentah bernilai lebih RM3 juta yang dipercayai cuba diselewengkan dalam operasi di daerah ini, semalam.


Operasi jam 10.30 malam itu dilaksanakan hasil maklumat risikan daripada Unit Risikan Marin, membawa kepada penahanan lima individu warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan.


Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan, PPM turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan iaitu tiga lori tangki dan dua kenderaan Toyota Hilux.

ree

Selain itu katanya, turut dirampas ialah 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.


“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3 juta termasuk kenderaan dan peralatan menyeleweng minyak sawit mentah.


“Kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ree

Mohd Nazri, berkata kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PPM dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan dan lokasi strategik di Sabah.


“Pasukan Polis Marin akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan setiap kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras secara tuntas,” katanya.

ree

Mohd Nazri turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyelewengan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page