top of page

Misi jejaki bekas kubu Pahlawan Murut Antenom di Salangit, Pensiangan

nabalunews


Sinawat (ketiga dari kanan) semasa mempengerusikan mesyuarat itu di rumah kediamannya di Beluran.

5 Disember 2024


BELURAN: Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom (PUSAKA) akan melakukan jelajah menjejaki bekas kubu atau (lavang) Pahlawan Murut Ontoros yang lebih dikenali Antenom di Salangit, berhampiran Pensiangan awal tahun hadapan.


Presiden PUSAKA Sinawat @ Welly Antakah berkata, jelajah itu bertujuan membuat trek pejalan kaki dari bekas pusat pentadbiran British di Rundum ke bekas kubu pahlawan Murut tersohor itu di Salangit yang lebih dikenali 'silar pinikit'.


Katanya, perkara ini sudah lama dirancang dalam beberapa siri mesyuarat persatuan tetapi ia belum dapat dilaksanakan.


"Kita berharap ia dapat dilaksanakan tahun hadapan kerana lokasi yang bakal dijejaki itu adalah tempat bersejarah yang dikaitkan dengan peristiwa berdarah Salangit - Rundum 1915" katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bulanan PUSAKA di rumah kediamannya di sini baru-baru ini.


Menurut Sinawat, langkah pertama adalah menjejaki bekas kubu Pahlawan Murut tersohor itu sebelum membuat trek laluan pejalan kaki yang dijangka memakan masa berjalan kaki meredah hutan tebal dalam tempoh tiga atau empat hari.


Katanya, langkah kedua adalah membersihkan trek atau laluan pejalan kaki di sepanjang laluan yang akan dikenalpasti kelak.


"Setelah semuanya selasai, pihak PUSAKA akan memohon kepada kerajaan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan supaya tempat bersejarah itu dijadikan sebagai produk pelancongan," katanya.


Sehubungan itu Sinawat meminta supaya Biro Pelancongan dan Rekreasi membuat kertas kerja dan membentuk Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi tujuan ini sebelum ia dilaksanakan.


Sementara itu Pengerusi Biro Pelancongan dan Rekreasi PUSAKA, Balang Baru berkata, pihaknya akan membuat perancangan termasuk mengadakan mesyuarat khas pembentukan AJK yang bakal menjadi pelaksana program.


"Kita akan bentuk AJK dalam PUSAKA yang akan menjadi hos program ini kelak" jelasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page