Misompuru Homestay Kudat cipta sejarah tersendiriMisompuru Homestay Kudat cipta sejarah tersendiri
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Misompuru Homestay Kudat cipta sejarah tersendiri



30 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


Homestay atau inap desa yang menawarkan percutian ala kampung menjadi antara pilihan utama pelancong luar negara berkunjung ke Sabah.


Antara inap desa di Sabah yang amat popular di kalangan pengunjung luar negara ialah Misompuru Homestay Kudat (MHK) lebih kurang 157 kilometer dari pusat bandaraya Kota Kinabalu.


Maka tidak hairanlah inap desa itu antara inap desa yang berjaya di Sabah dan mendapat pelbagai anugerah termasuk Anugerah Inap Desa Cemerlang peringkat Asean pada tahun 2019-2021 (ASEAN Homestay Standard Award 2019-2021) dan Million Achievement World HOST Award 2019- 2020.


Apa yang menarik mengenai inap desa itu ialah ia juga merupakan inap desa di Sabah yang mencatatkan kedatangan pelancong yang ramai setiap tahun.



Selain itu Misompuru Homestay Kudat turut disenaraikan sebagai inap desa kedua terbaik di Malaysia berdasarkan prestasi hasil pendapatan tahunan.


Misompuru Homestay Kudat seterusnya telah menerima pengiktirafan daripada ASEAN Homestay Standard 2019-2021 dan Million Achievement World HOST Award 2019- 2020.


Bagi pelancong yang gemar aktiviti lasak, Misompuru Homestay Kudat menawarkan aktiviti berbasikal dan snorkeling.


Antara produk pelancongan menarik yang ditawarkan oleh inap desa itu ialah lawatan ke ‘telaga minyak’ di Kampung Minyak, Pantai Terongkongan, pelayaran, menyusur sungai bakau, meredah hutan bakau, menyelam scuba, Tanjung Simpang Mengayau, pembuatan parang, pembuatan manik, tenunan dan kraft tangan, tarian kebudayaan, masakan tradisional masyarakat Rungus dan banyak lagi.



Penyelaras Misompuru Homestay Kudat Datuk Cobra Jeffry Ayah berkata, bagi mengekalkan pencapaian inap desa itu, mereka akan mewujudkan lebih banyak produk yang boleh ditawarkan kepada pelancong selain mengekalkan aktiviti-aktiviti sedia ada.


Beliau berkata, sejak MHK diwujudkan pada tahun 2000, kebanyakan pengunjung adalah orang tempatan.


“Tujuh tahun pertama mengusahakan homestay, kami terima 70 peratus pengunjung tempatan tetapi selepas itu sehingga 2019, lebih 80 peratus adalah pengunjung antarabangsa.


"Pengunjung antarabangsa itu dari lebih 52 buah negara termasuk Latvia, Russia, Jerman, Australia dan Amerika,” katanya kepada Nabalu News, baru-baru ini.


Datuk Cobra Jeffry Ayah

Jeffry berkata, berdasarkan maklum balas para pengunjung luar negara, mereka teruja melawat pelbagai tempat menarik di Kudat seperti Simpang Mengayau, Ladang Madu Lebah dan beberapa pantai di sekitar Misompuru Homestay Kudat.


“Mereka juga gembira dengan layanan mesra masyarakat tempatan selain tertarik dengan budaya masyarakat Rungus dan makanan-makanan tradisional yang kami disediakan,” katanya.


MHK catat pendapatan tertinggi


Setakat tahun 2019, sebanyak 29 inap desa berdaftar di bawah Persatuan Homestay Sabah berjaya menjana pendapatan RM7,174, 722 sepanjang tahun 2018. Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM3.7 juta dan RM4.4 juta yang diperolehi pada tahun 2017 dan 2016.


Manakala jumlah pelancong yang mengikuti program inap desa juga meningkat secara mendadak daripada 47,291 dan 47,944 pada tahun 2017 dan 2016 kepada 70,083 orang sepanjang tahun 2018.


Peningkatan itu disebabkan pelbagai program menarik yang ditawarkan oleh para pengusaha inap desa di Sabah.


Sebelum Covid-19 melanda negara ini, Misompuru Homestay Kudat yang diusahakan 34 pengusaha dari 7 kampung di Kudat merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak RM1,655,361 pada tahun 2018 dan terus mencatatkan peningkatan sehingga RM2.4 juta pada tahun 2019.


“Perbezaan pendapatan pada peringkat awal pengwujudan inap desa ini sehingga sekarang amat jauh bezanya daripada pendapatan belasan ribu kepada jutaan ringgit,” katanya.


Pendapatan hasil jualan pakej Misompuru Homestay Kudat diagih-agihkan kepada semua penduduk kampung yang terlibat dalam program itu.


“Orang kampung mana mau kumpul dulu (pendapatan) dalam akaun, hujung bulan baru bayar. Mereka mahu dibayar terus apabila ada pelancong datang. Buat hari ini bayar hari ini untuk mengembirakan mereka supaya apabila ada pelancong datang keesokan harinya mereka akan lebih bersemangat.


“Kalau kumpul satu bulan baru bayar akan melemahkan semangat mereka terus bertahan dalam industri inap desa kerana kebanyakan komuniti yang terlibat adalah petani dan penoreh getah,” katanya.



Jeffry berkata, antara tujuan utama mewujudkan Misompuru Homestay Kudat adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan sampingan komuniti secara langsung dan tidak langsung serta mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.


“Saya gembira kerana tujuan utama kami berjaya mencapai sasaran. Ramai peserta inap desa kini berkemampuan menaiktaraf kediaman sendiri daripada rumah kayu kepada rumah moden (konkrit).


“Walaupun kita mahu mereka mengekalkan rumah tradisi (rumah kampung) tetapi tidak salah mereka menaiktaraf rumah untuk keselesaan sendiri.


“Rumah dinaiktaraf, maksudnya mereka ada pendapatan sampingan yang lebih baik selain pendapatan sebagai petani dan penoreh getah,” katanya.


Selain berjaya menambah pendapatan para peserta inap desa, Misompuru Homestay Kudat juga berjaya meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan penduduk kampung.



“Pada mulanya, orang kampung susah hati bagaimana untuk berkomunikasi dengan ‘orang putih’ kerana mereka tidak tahu Bahasa Inggeris.


“Tetapi selepas hampir 20 tahun berada dalam industri ini, saya bangga kerana mereka kini fasih bertutur Bahasa Inggeris. Ada yang dahulunya langsung tidak faham, kini pandai berbahasa Inggeris,” katanya.


MHK disertai hampir 3,000 penduduk daripada 15 buah kampung. Daripada kesemua kampung yang terlibat hanya tujuh kampung menawarkan penginapan dan selebihnya menawarkan produk pelancongan.


Perlu perhatian kerajaan


Mengenai kemudahan infrastruktur di kawasan Misompuru Homestay Kudat, Jeffry berkata, jalan-jalan raya menuju ke kawasan rumah-rumah homestay dan ke kawasan produk pelancongan MHK masih belum dinaiktaraf walaupun inap desa itu telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.


“Jalan tidak berapa bagus, sehingga sekarang masih banyak jalan yang belum kena bikin, hanya ditabur batu saja. Saya difahamkan ini bukan di bawah Kementerian Pelancongan tetapi di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).


(Jalan menuju ke Telaga Minyak, salah satu produk pelancongan MHK, kredit video: pengunjung MHK)


“Saya kecewa kerana permohonan menaiktaraf jalan-jalan kampung di kawasan Misompuru Homestay Kudat tidak mendapat maklumbalas positif. Sekiranya ada kerosakan, penduduk kampung sendiri yang membaikinya.


“Kita tidak mahu jalan itu setakat ditabur batu sekali setahun atau sekali dalam 2 tahun tetapi kita mahu jalan itu dinaiktaraf kapada Tar(diturap) untuk keselesaan penduduk dan pelancong bagi meningkatkan imej pelancongan di Sabah,” katanya.


Jeffry berkata, pelancong luar negara memuji keindahan alam semulajadi di Sabah tetapi mereka mengeluh keadaan jalan raya yang agak teruk.


Sehubungan itu beliau berharap pihak berkenaan dapat menaiktaraf jalan-jalan luar bandar terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.


Katanya lagi, MHK sepatutnya diberi keistimewaan kerana telah berjaya mendapat pelbagai anugerah inap desa cemerlang serta mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat dunia antarabangsa.


“Kami sebenarnya sudah beberapa kali memohon penaiktarafan jalan-jalan raya kampung menuju ke kawasan rumah-rumah pengusaha homestay dan produk pelancongan MHK serta pembinaan dewan serbaguna tetapi sehingga kini tiada jawapan. Kami ada dewan kecil tetapi Saya bikin menggunakan kewangan sendiri, namun ianya tidak dapat menampung jumlah kedatangan pelancong yang ramai," katanya.


Katanya lagi, sejak awal pengwujudan MHK sehingga kini, mereka hanya menerima peruntukan lebih kurang RM600,000 sahaja daripada Kementerian Pelancongan (Motac).



“Dana yang kami terima itu untuk membina lorong pejalan kaki di bakau, pusat maklumat dan papan tanda, tapi sekarang semua sudah mengalami kerosakan dan perlu dana pembaikan.


“Mungkin ada yang berpendapat, kami tidak perlu peruntukan sebab mempunyai pendapatan tahunan jutaan ringgit. Tetapi mereka harus ingat pendapatan itu semuanya diberikan dan diagihkan kepada para pengusaha homestay dan penduduk kampung kerana itu adalah gaji (pendapatan) mereka,” katanya.


Jeffry berkata, peruntukan untuk membaiki kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya sepatutnya daripada kerajaan.


“Walaupun mempunyai wang tabungan hasil pendapatan jualan produk inap desa tetapi ia digunakan untuk keperluan lain seperti membiayai kos promosi untuk menarik lebih ramai pelancong dan memastikan perancangan inap desa berterusan.


Pantau inap desa haram


Mengenai pertambahan inap desa di Sabah, beliau berkata ia amat baik untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada para pelancong.


“Lebih banyak inap desa lagi bagus, apabila dunia mengetahui Sabah mempunyai banyak program inap desa, maka mereka akan melihatnya sebagai satu potensi yang baik untuk dikunjungi,” katanya.


Bagaimanapun beliau sedih banyak pengusaha inap desa mewujudkan ‘homestay haram’.



Oleh itu katanya, kerajaan harus memantau homestay haram kerana ia akan merosakkan nama pengusaha inap desa yang tulen dan berdaftar dengan Motac.


“Ada pengusaha yang menamakan ‘homestay’ tetapi mereka hanya menawarkan penginapan bilik dan tiada aktiviti pelancongan. Ini akan merosakkan nama homestay yang berdaftar dan patut dipantau oleh kerajaan,” katanya.


Mengenai persediaan menerima kembali kedatangan pelancong, Jeffry berkata Misompuru Homestay Kudat sudah bersedia menerima pelancong dan telah menerima beberapa tempahan dari luar negara sejak beberapa bulan lalu.


“Oleh kerana inap desa dan aktiviti pelancongan telah ditutup sejak tahun lalu ekoran pandemik Covid-19, banyak kemudahan yang tidak digunakan sepanjang tempoh itu dan ada yang rosak.


“Kita tiada pilihan selain menggunakan duit tabungan untuk membaikinya kerana kita hampir dua tahun tidak beroperasi,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page